NASIONALSELANGOR

Wajibkan pengusaha restoran ada sijil halal sebelum operasi

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu mewajibkan semua pengusaha premis makanan halal mendapatkan sijil pengesahan halal bagi kemudahan pelanggan Islam.

Presiden Persatuan Pengusaha Makanan Melayu Islam Wilayah Persekutuan & Selangor (PERMAS), Ayob Abd Majid berkata, syarat itu perlu bagi semua premis termasuk restoran, warung dan kendera saji sama ada yang sedang beroperasi atau ingin memulakan perniagaan.​​​​​​

Katanya, langkah itu dapat membantu pelanggan Muslim yang kadangkala keliru dengan status halal sesebuah restoran menjual makanan kepada pelanggan beragama Islam.

“Setakat ini kita dapati tiada lagi garis panduan dari JAKIM yang mewajibkan pengusaha restoran untuk ada sijil halal kerana selagi pengusaha ada sijil boleh berniaga dari Pihak Berkuasa Tempatan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, mereka boleh terus membuka restoran.

“Restoran besar seperti hotel dan francais, mereka perlu ada sijil halal JAKIM untuk mula beroperasi, justeru PERMAS mencadangkan supaya mewajibkan juga perkara ini kepada pengusaha restoran yang menjual makanan halal supaya pelanggan lebih yakin,” katanya kepada BERNAMA.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berkenaan pemeriksaan bersepadu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang dijalankan semalam terhadap sebuah restoran di Shah Alam, yang mendapati pemilik bersama restoran itu beragama Hindu.

Pemeriksaan lanjut JAIS mendapati restoran yang disangka restoran ‘mamak’ itu memiliki hampir semua pekerja termasuk tukang masak beragama Hindu selain hanya dua orang sahaja beragama Islam, serta kesalahan menjual daging kambing yang tiada sijil halal.

Justeru, Ayob menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati sebelum memasuki sesebuah restoran, dan terus melaporkan kepada pihak berwajib jika mendapati terdapat keraguan berkenaan status halal restoran itu.

“Memang pihak berkuasa seperti JAIS sering membuat operasi sebegini terhadap restoran tetapi orang ramai perlu turut lebih berhati-hati apabila memasuki sesebuah restoran, jangan main ikut orang sahaja tanpa memastikan status halalnya.

“Orang ramai di sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan yang ingin membuat aduan boleh terus menghubungi JAIS atau jika ingin mengadu kepada PERMAS boleh dibuat di laman Facebook bagi tindakan susulan,” katanya.

 


Pengarang :