NASIONAL

Wanita Indonesia ditemui mati dengan tangan berikat

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Seorang wanita warga Indonesia ditemui mati dalam keadaan separuh bogel, tangan diikat dan mulut disumbat kain di sebuah rumah di Jalan Reko, Kajang, dekat sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supt Mohd Sabri Abdullah berkata, mayat wanita berusia lingkungan 30-an itu ditemui majikannya yang datang ke rumah mangsa selepas dia tidak hadir bekerja selama tiga hari.

“Penemuan mayat itu dilaporkan majikannya, pada jam 6.24 petang semalam,” katanya dalam kenyataan, lapor BERNAMA.

Katanya, wanita itu bekerja di sebuah kedai perabot dan dilihat kali terakhir, pada malam Khamis.

Mayat dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat dan kes disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil menghubungi pegawai penyiasat ASP Ismail Ahmad menerusi talian 019-2306107 untuk membantu siasatan.


Pengarang :