dav
NASIONAL

Wanita KEADILAN komited lahir pemimpin muda

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 14 JAN: Wanita KEADILAN komited mahu melahirkan kepimpinan wanita muda kerana kerana golongan itu adalah masa depan negara, kata Ketua Wanita KEADILAN, Haniza Talha.

Beliau berkata, fokus diberi kepada badan bukan kerajaan (NGO) untuk mereka melaksanakan program ‘Girls To Leader’ bertujuan mendidik wanita muda itu tampil sebagai pemimpin.

“Kita bercadang mahukan remaja perempuan seawal usia 13 hingga 25 tahun akan mengikuti program ini sekali gus apabila tiba masanya mereka boleh menjadi pemimpin kepada wanita lain.

“Ia kerana untuk mengasah bakat dan melahirkan pemimpin wanita muda sekali gus mampu menjadi sebagai pembuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Konvensyen Wanita KEADILAN 2019 Selangor dan Wilayah Persekutuan serta Pelancaran Kempen Membanteras Keganasan Terhadap Wanita, di Auditorium Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini, semalam.

Selain itu, katanya, beliau meminta semua Ketua Wanita KEADILAN setiap cabang membentuk jawatankuasa khas bagi menarik lebih ramai wanita mengikuti program berkenaan.

“Kita juga mendapat cadangan daripada pimpinan sayap wanita iaitu sekiranya tiga calon dikemukakan untuk bertanding, seorang perlu terdiri dalam kalangan wanita muda.

“Ia juga selaras dengan usaha sayap wanita KEADILAN yang mahukan penglibatan 30 peratus wanita dalam politik itu tercapai,” katanya.


Pengarang :