NASIONAL

Warga emas maut akibat virus rabies di Sarawak

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 JAN: Seorang wanita warga emas berusia 80 tahun meninggal dunia akibat virus rabies di Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa sebelum ini cedera di bahagian tangan kiri akibat dicakar oleh anjing peliharaannya pada Disember tahun lalu.

Katanya, ia berlaku semasa beliau cuba meleraikan pergaduhan anjing terbabit dengan seekor kucing peliharaannya.

“Kemudiannya pada 11 Januari lalu, mangsa mengalami demam, batuk, muntah, lesu, sakit badan dan rasa lemah pada tangan kiri serta telah mendapatkan rawatan di klinik swasta pada hari yang sama.

“Bagaimanapun, mangsa tidak memaklumkan telah digigit oleh anjing. Mangsa telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak pada 14 Januari lalu oleh klinik swasta yang sama apabila gejala tidak berkurangan semasa beliau mendapatkan rawatan ulangan.

“Namun mangsa meninggal dunia pada 18 Januari lalu jam 9.35 pagi. Sampel klinikal kes telah disahkan positif rabies oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada hari yang sama,” katanya dalam kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata, dengan pengesahan kes terbaharu itu, kes disahkan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak semenjak pengisytiharan wabak pada 1 Julai 2017 sehingga 18 Januari lalu adalah 17 kes termasuk 16 kematian.

Katanya, orang awam perlu mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di klinik atau hospital kerajaan yang berdekatan sekiranya terkena gigitan.

“Orang ramai juga diminta untuk membawa haiwan peliharaan untuk diberi vaksin anti-rabies dan tidak membiarkannya berkeliaran atau bergaul dengan haiwan liar.

“Jangan mengambil anjing liar yang tidak diketahui status vaksinasinya untuk dipelihara. Selain itu, elakkan diri daripada digigit anjing atau haiwan liar,” katanya.


Pengarang :