SELANGOR

Warga emas tunggu 35 tahun miliki geran tanah

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 25 JAN: Seorang warga emas terharu gembira apabila geran hak milik tanah yang dinantinya hampir 35 tahun lamanya sudahpun berada di depan mata.

Beliau, Rahmat Abu Bakar, 65 dari Kampung Sungai Sireh Tambahan itu beberapa kali meluahkan rasa syukurnya ketika Majlis Penyerahan Hak Milik dan Notis 5A oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Katanya, sebelum ini hatinya tidak tenang setiap kali melihat projek pembangunan yang sedang rancak berlaku di kawasan sekitar.

“Memang pakcik bimbang apabila lihat tempat lain dibangunkan memandangkan rumah yang diduduki sekarang tidak mempunyai geran.

“Tetapi sekarang sudah lega, pakcik boleh tidur dengan tenang, ibaratnya hendak buat apapun tidak mengapa kerana tanah berkenaan sudah jadi hak milik sendiri,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Walaupun berjalan menggunakan tongkat, Rahmat tetap hadir ke program yang diadakan bertempat di Dewan Orang Ramai Kampung Delek, petang tadi.

“Pakcik sudah tidak boleh berjalan dengan baik sejak tiga tahun lalu tetapi apabila mendengar berita Dato’ Menteri Besar sendiri yang akan serahkan geran ini, pakcik terus mengajak isteri untuk datang bersama.

“Terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar kerana prihatin dengan masalah kami sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Maidin, 50, pula mengibaratkan penerimaan geran hak milik itu sebagai hadiah tahun baru.

“Saya menanti hampir 30 tahun lamanya walaupun sejak berusia 14 tahun menetap di Kampung Sungai Sireh Tambahan.

“Alhamdulillah, akhirnya kami semua boleh menetap tanpa perlu rasa bimbang dan mungkin sudah boleh ubahsuai rumah dan sebagainya,” katanya.

Kedua-dua mereka di antara 118 penduduk Kampung Sungai Sireh Tambahan yang menerima geran hak milik tanah dan Notis 5A sempena Program Jelajah Maju Bersama Dato’ Menteri Besar ke Daerah Klang.

 


Pengarang :