SELANGOR

YIDE bantu mangsa ribut

OLEH NORHAYATI UMOR

GOMBAK, 7 JAN: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menghulurkan sumbangan keluarga Orang Asal yang mengalami kerosakan rumah ekoran ribut, baru-baru ini.

Sumbangan dan ziarah yang diketuai Pengurus Operasinya, Md Arifin Jaafar itu menyaksikan yayasan terbabit menyerahkan bantuan kecemasan wang tunai dan keperluan asas.

Katanya, sumbangan itu tanda komitmen YIDE membantu pihak memerlukan, terutama rakyat Selangor dengan menyantuni mangsa ditimpa musibah.

“Kejadian ribut yang mengakibatkan sebatang pokok tumbang lalu menimpa dua buah rumah Orang Asal, pada jam 11 malam turut mencederakan penghuni rumah berkenaan.

“Mangsa sedang dirawat di Hospital Orang Asli Gombak dan menerima rawatan 20 jahitan,” katanya kepada SelangorKini.

Turut serta dalam lawatan itu adalah Penyelaras Orang Asli Selangor, Nadhirah Hasiman dan Pegawai JAKOA Daerah Gombak dan Petaling, Rogayah Mamat.

Pada masa sama, YIDE turut menyeru orang ramai supaya menyumbang bagi meringankan beban mangsa dengan menghubungi Pegawai kebajikan YIDE di talian 017-7569476.


Pengarang :