PBTSELANGOR

Zaharin mahu kakitangan MBSA terus lakar kejayaan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM – Mantan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad, mahu kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu terus komited melaksanakan tugas bagi mencapai kecemerlangan yang berterusan.

Beliau yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) turut menasihatkan kakitangan supaya tidak menimbulkan perkara yang menjadi kemurkaan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“DYMM tuanku sangat prihatin akan rakyatnya terutama membabitkan isu keselamatan.

“Saya pernah beberapa kali dimurka tuanku contohnya isu banjir. Tuanku tegur, jadi saya berharap ia tidak berlaku di bawah datuk bandar baharu.

“Jika ditegur terima dengan hati yang terbuka, jangan berkecil hati. Jadikan ia pengajaran dan mungkin kesilapan daripada kelalaian diri kita sendiri,” katanya pada Majlis Lambaian Kasih, Sanjungan Budi, di Dewan Banquet MBSA, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Zaharin berkata, banyak kenangan manis dilakarkan sepanjang empat tahun beliau berkhidmat sebagai datuk bandar.

Katanya, beliau terkejut dan bersedih kerana masih banyak rancangan yang belum dilaksanakannya ketika menerima surat perlantikan jawatan baharu.

“10 tahun dalam perkhidmatan awam, banyak jabatan saya berkhidmat tetapi di MBSA saya berasa sangat ‘touching’. Berat hati saya untuk meninggalkan MBSA.

“Kakitangan MBSA sangat memberikan kerjasama yang baik kepada saya. ‘Kempunan’ juga saya tidak sempat untuk membina stadium mini,” katanya.


Pengarang :