SELANGOR

Zon 10 MPKj sedia khidmat kaunseling percuma

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 12 JAN: Sebuah pusat kaunseling percuma yang menyasarkan golongan wanita bakal dibuka, di kawasan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), tidak lama lagi.

Ahli Majlis Zon 10 MPKj, Sharifah Norhayati Syed Omar berkata, ia bagi membantu masyarakat yang mempunyai masalah, terutama dalam rumah tangga untuk meluahkan perkara terpendam.

“Kadang-kadang wanita ini lebih memilih untuk memendam perasaan yang akhirnya memberi tekanan kepada mereka.

“Oleh itu, saya amat mengalu-alukan wanita untuk hadir ke pusat kaunseling itu dan kami akan cuba membantu menyelesaikan masalah mereka,” katanya kepada Media Selangor.

Pada masa sama, katanya, wanita memerlukan anjakan paradigma untuk tidak hanya berdiam diri dan bangkit supaya tidak ditindas lelaki.

“Saya dapat bayangkan betapa peritnya jika seseorang itu memendam perasaan apabila mereka sebenarnya sering ditindas oleh kaum Adam seperti didera pasangan.

“Justeru, saya amat mengalu-alukan semua wanita terutama yang tinggal berdekatan Zon 10 MPKj untuk hadir ke pusat kaunseling itu yang bakal dibuka dalam masa terdekat,” katanya.


Pengarang :