SELANGOR

10,479 kes demam denggi setakat ini

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

AMPANG, 17 FEB: Sebanyak 10,479 kes demam denggi dengan 12 kes kematian direkodkan di Selangor sejak awal Januari lalu hingga minggu keenam 2019.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dato’ Dr Khalid Ibrahim berkata, kes itu menunjukkan peningkatan sebanyak 204 peratus berbanding minggu sama, pada tahun lalu.

Katanya, jumlah kematian ekoran kes terbabit turut meningkat sebanyak 140 peratus juga bagi tempoh sama, pada tahun lalu.

“Sehingga 9 Februari, sejumlah 1,970 penduduk di daerah Hulu Langat dijangkiti demam denggi dan tiga daripadanya menjadi korban wabak ini.

“Peningkatan penyakit ini semakin ketara semenjak penghujung 2018 dan ketika ini sebanyak 167 lokaliti dalam daerah diisytiharkan sebagai berwabak denggi termasuk 27 berstatus ‘hotspot’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Operasi Penguat kuasaan Premis Individu (OPPI) dan Operasi Zero Larva (OZEL), di lokaliti hotspot denggi, Taman Bukit Teratai, di sini, semalam.

Turut hadir, Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat, Dr Zailiza Suli; Pengarah Jabatan Kesihatan, Alam Sekitar dan Penjaja, Dr Sarodin Shahri; Ketua Bahagian Kawalan PKD Hulu Langat, Dr Nasir Habib; Pegawai Kesihatan Persekitaran Unit Inspektorat dan Perundangan Negeri Selangor, Zawiah Ab Ghani serta Ahli Majlis Zon 23, Mohamad Samot@Samat.

Pada masa sama, beliau berkata, operasi bersepadu itu membuktikan kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bersama pelbagai pihak sentiasa komited untuk memerangi denggi yang masih menjadi isu kesihatan awam.

Katanya, tindakan bersepadu membabitkan semua kementerian dan agensi sama ada kerajaan atau swasta termasuk pembabitan komuniti akan dapat menjamin kejayaan pencegahan denggi secara berterusan.

“Berdasarkan analisa data tahun lalu, premis individu (indoor) menjadi tempat utama positif selain dari pembiakan di luar premis (outdoor).

“Justeru, strategi OZEL dalam kawalan Pemusnahan Tempat Pembiakan (PTP) aedes di premis individu adalah signifikan bagi mengawal premis berstatus ‘hotspot’,” katanya.


Pengarang :