SELANGOR

200 gerai uptown Puchong Permai terbakar, kerugian cecah RM1 juta

PUCHONG, 2 FEB: Kira-kira 200 lot kedai bazar larut malam ‘uptown’ Puchong Permai, di Jalan Puchong Permai, di sini musnah dalam satu kebakaran pagi tadi dengan nilai kerugian dianggar mencecah RM1 juta.

Timbalan Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norizham Mohd Nudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.58 pagi dan 40 pegawai serta anggota bersama enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, Serdang, Kota Anggerik dan Petaling Jaya digegaskan ke lokasi.

“Kebakaran dapat dikawal kira-kira sejam kemudian dan siasatan awal mendapati api bermula dari bahagian tengah,” katanya, lapor BERNAMA.

Beliau berkata, kebakaran membabitkan 200 lot kedai dengan 80 daripadanya aktif menjalankan perniagaan.

Sementara itu, Pegawai Operasi Pentadbiran bazar berkenaan, Abdul Rahim Shah berkata, kebanyakan peniaga di situ beroperasi sejak 2011 dan bazar dibuka setiap hari bermula jam 8.30 malam hingga 1 pagi.

“Pelbagai jenis perniagaan dijalankan di bazar ini dan dianggarkan kerugian yang ditanggung peniaga terbabit mencecah RM1 juta,” katanya menambah setiap lot disewakan pada kadar RM300 sebulan.

Peniaga, Siti Zuraidah Bakar berkata, beliau yang menjalankan perniagaan produk kecantikan dan kesihatan di bazar berkenaan sejak tiga bulan lalu, kerugian kira-kira RM20,000.

“Saya tidak tahu macam mana lepas ini, harap wakil rakyat dapat bantu, saya dah hubungi vendor produk dan memaklumkan kerugian berkenaan,” katanya.

Menceritakan detik cemas itu, peniaga berusia 37 tahun itu berkata, ketika kejadian beliau berada di sebuah lagi kedai miliknya yang terletak kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

“Saya mula ingat rumah pangsapuri di uptown terbakar sebelum ada pelanggan yang maklumkan uptown yang terbakar, saya terus berlari ke sini dan semuanya sudah musnah,” katanya.

Turut hadir meninjau lokasi kejadian ialah Senator R Suresh Singh yang mewakili Anggota Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Ahli Dewan Negeri Seri Serdang, Dr Siti Mariah Mahmud.

Dr Siti Mariah berkata, beliau akan membantu peniaga bazar berkenaan dengan mencari tapak perniagaan sementara untuk mereka​​​​​.

“Kita akan berbincang tindakan lanjut dengan Majlis Perbandaran Subang Jaya dalam masa terdekat kerana bazar ini tidak dapat kebenaran merancang,” katanya.


Pengarang :