NASIONAL

2019 permulaan terbaik saksikan pembangunan ekonomi negara

GEORGE TOWN, 5 FEB: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yakin 2019 merupakan permulaan terbaik untuk melihat pembangunan ekonomi negara.

Beliau berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada kedudukan fiskal negara yang mulai mengukuh dan juga peningkatan jumlah pelaburan langsung asing (FDI) yang memberangsangkan sejak tahun lepas.

“Kita harapkan tahun ini akan menjadi tahun yang lebih maju dan makmur untuk negara Malaysia. Selepas tahun lepas kita dapat mengukuhkan kedudukan kewangan fiskal dan juga berikan keyakinan kepada pelabur asing serta syarikat-syarikat dana kewangan bahawa kita komited menangani masalah-masalah yang diwariskan oleh kerajaan terdahulu.

“Pada masa sama, kita komited mencapai sasaran kita dan kita telah capai sasaran itu. Itulah sebabnya tahun ini adalah permulaan untuk melihat pembangunan ekonomi dan kita harap pelabur tempatan boleh memainkan peranan terus melabur dalam pasaran tempatan,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang (SPICE), Bayan Baru, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lim yang juga Anggota Parlimen Bagan berkata buat masa ini ia masih di peringkat rundingan dan pengumuman hanya akan dibuat selepas keputusan muktamad dicapai.

“Kita tak akan buat komen semasa rundingan diadakan melainkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Biar kita adakan rundingan (terlebih dahulu) dan tidak dipengaruhi oleh laporan surat khabar. Kadang-kadang laporan surat khabar pun tak tepat, ini akan merumitkan perbincangan.

“Lebih baik kita jangan buat sebarang kenyataan sehingga ada satu keputusan muktamad di mana semua akan dicatit secara hitam putih, masa itu baru kita akan umumkan,” katanya.

Laluan ECRL bakal menghubungkan Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan Lembah Klang, melibatkan jajaran rel sepanjang 688.3 kilometer (km) dari Kota Bharu, Kelantan hingga ke Gombak, Selangor.

Sekurang-kurangnya 44 terowong dirancang akan dibina di beberapa kawasan dengan keseluruhan jarak meliputi 39.1km di sepanjang jajaran ECRL dan ia termasuk terowong berkembar sepanjang 16.3km dari Bentong ke Gombak.

– BERNAMA

 


Pengarang :