NASIONAL

25 PATI ditahan di Port Dickson

PORT DICKSON, 21 FEB: Sekurang-kurangnya 25 pendatang asing tanpa izin ditahan dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah di sebuah kawasan perumahan di Lukut, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, mereka yang ditahan termasuk 18 lelaki warganegara Indonesia dan Bangladesh, lima wanita dan dua kanak-kanak warga Indonesia.

Katanya, mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

“Operasi juga adalah bertujuan mengurangkan ‘fear of crime’ (ketakutan kepada jenayah) dalam kalangan masyarakat terutama di Port Dickson, di samping memastikan kejadian jenayah dapat dibendung,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Operasi selama lima jam bermula 9 malam oleh 33 pegawai kanan dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson itu turut disertai beberapa anggota dan pegawai dari Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Tenaga Kerja.

“Pada operasi berkenaan, secara keseluruhan kita telah memeriksa seramai 39 orang warga asing.

“Operasi bersepadu itu akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan daerah berkenaan aman dan sejahtera,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :