NASIONAL

3 beranak rentung di Lebuhraya Silk

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Tiga beranak didapati rentung selepas kereta jenis BMW X3 yang dinaiki terbabas sebelum terbakar, dalam kejadian di Km 6.9 Lebuhraya Silk menghala Sungai Long, Kajang dekat sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Supt Azman Shari’at berkata, pemandu kereta berkenaan dikenali sebagai Goh Tian Hing berusia 44 tahun.

Turut terbabit dalam kemalangan itu ialah ibu dan bapa kepada pemandu berkenaan dikenali sebagai Saw Yeng Fui, 65, (ibu) yang duduk di bahagian penumpang hadapan dan Goh Soay Sing, 68, (bapa) yang duduk di bahagian penumpang belakang kenderaan itu.

Katanya, alamat terakhir kesemua mangsa berkenaan ialah di Taman Anggerik Emas, Kajang Selangor.

“Polis akan mengambil sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas waris mangsa untuk analisis dan dipadankan dengan DNA mangsa di Hospital Serdang,” katanya ketika dihubungi BERNAMA.

Katanya, siasatan awal mendapati tiada kamera litar tertutup di tempat kejadian dan cuaca baik ketika kemalangan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kemalangan kira-kira jam 6 petang itu, kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas melanggar pembahagi kiri jalan dan terbakar.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :