Selangorkini
NASIONAL

360 Veteran ATM terima Pingat Jasa Malaysia

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Seramai 360 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) bagi peringkat Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam satu majlis di sini, hari ini.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, penerima pingat terdiri daripada veteran ATM berbilang kaum antaranya anggota Persatuan Veteran Cina Angkatan Tentera (MAFCA), veteran ATM di negeri itu serta penerima yang telah meninggal dunia diwakili balu penerima.

“Penganugerahan pingat ini merupakan simbolik pengiktirafan Raja-Raja Melayu dan kerajaan serta nilai kenangan budi atas pengorbanan sepanjang perkhidmatan dalam ATM khususnya semasa era perang dunia kedua serta ancaman Komunis semasa era darurat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penganugerahan PJM itu, hari ini.

PJM dikurniakan kepada warga ATM yang pernah terlibat dalam memerangi pengganas Komunis Malaya dan operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara selain anggota pengaman yang berkhidmat di luar negara.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) Mejar Jeneral, Datuk Dzulkarnain Ahmad.

Sementara itu, seorang penerima pingat Sarjan (Bersara) Chan Pan Heong, 71, berkata, beliau amat berterima kasih kerana dikurniakan pingat sebagai mengenang jasa sepanjang perkhidmatan dalam ATM.

“Saya sangat berterima kasih kerana mengurniakan pingat ini setelah 22 tahun saya berkhidmat dalam ATM.

“Saya memang sangat menyayangi kerjaya dalam ATM terutamanya ketika bertugas sebagai pembantu kawalan trafik udara di Sungai Besi,” katanya.

Seorang lagi penerima pingat Pegawai Waran 1 (Bersara) Zainal Abd Hamid, 59, berkata, beliau berasa bangga atas pengurniaan PJM dan menganggap sebagai satu penghormatan kepada dirinya yang pernah bertugas dalam Rejimen Askar Melayu Diraja dan Kor Polis Tentera Darat.

– BERNAMA


Pengarang :