NASIONAL

4 sekeluarga maut, kereta bertembung treler

KOTA TINGGI, 7 FEB: Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak maut apabila kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah treler di Km55 Jalan Kluang-Kota Tinggi, malam tadi.

Mereka yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Mohd Firdaus Januri, 33; Norlia Osman, 32 serta anak mereka Mohd Adli Mohd Firdaus, 5 dan Nur Dalili Mohd Firdaus, 4.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Ahsmon Bajah berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila pemandu treler gagal mengawal kenderaannya yang kemudian memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan dua kenderaan lain, iaitu Honda Civic dan Proton Saga.

“Empat sekeluarga yang menaiki Honda Civic maut di tempat kejadian manakala pemandu Proton Saga hanya mengalami luka-luka,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pemandu lori itu akan direman dan kes disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi Pegawai Bomba Abdullah Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian terbabit, pada jam 10.51 malam.

“Seramai lima anggota dengan sebuah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi dikejarkan ke tempat kejadian.

“Ketika pihak bomba tiba di tempat kejadian, kedua-dua mangsa kanak-kanak sudah dikeluarkan orang awam,” katanya.

Katanya, operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit selesai pada jam 12.58 tengah malam dengan mayat serta mereka yang cedera dihantar ke Hospital Kota Tinggi.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :