SELANGORWANITA & KEBAJIKAN

400 terima sumbangan PEKAWANIS sempena Tahun Baharu Cina

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 FEB: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), hari ini menyerahkan sumbangan kepada warga emas dan ibu tunggal, sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Sumbangan membabitkan kira-kira 400 penerima daripada 11 Dewan Undangan Negeri (DUN) itu disempurnakan Yang Dipertua PEKAWANIS, yang juga isteri kepada Dato’ Menteri Besar, Masdiana Muhamad.

Bercakap kepada SelangorKini, beliau berkata, PEKAWANIS mula memberikan sumbangan kepada golongan memerlukan itu sejak 2008 apabila pentadbiran kerajaan bertukar.

“Semua DUN terima bantuan sama daripada PEKAWANIS tetapi pada majlis ini, kita buat untuk 11 DUN sahaja sementara DUN lain pula ada juga yang sudah pun diserahkan sumbangan.

“Setiap DUN kita ada 30 penerima yang menerima sumbangan RM100 setiap seorang dan ini bermakna PEKAWANIS memperuntukan RM3,000 sumbangan bagi setiap DUN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan PEKAWANIS sempena Perayaan Tahun Baharu Cina, di Dewan Megawati, Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, PEKAWANIS akan menambah baik program sumbangan perayaan pada masa akan datang dengan membahagikan kesemua DUN di Selangor berdasarkan zon, untuk membolehkan program dilangsungkan secara berpusat, di zon terbabit.

Sementara itu, ketika mengulas perkembangan program PEKAWANIS, Masdiana berkata, Majlis Tadabbur al-Quran, antara program paling mendapat sambutan apabila dihadiri kira-kira 900 hadirin.

Selain itu, katanya, PEKAWANIS turut berusaha meningkatkan pembabitan kaum bukan Melayu menyertai aktiviti PEKAWANIS dalam program Jom Sihat.


Pengarang :