BERITA UTAMASELANGOR

61% puas hati pentadbiran Amirudin

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 FEB: Sebanyak 61 peratus pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih berpuas hati dengan pentadbiran Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, pencapaian itu boleh menjadi daya tarikan dan aset kepada Pakatan Harapan (PAKATAN), di Semenyih.

“Berdasarkan umur, antara 21 hingga 30 tahun sebanyak 69 peratus berpuas hati; 31 hingga 40 tahun (63%); 41 hingga 50 tahun (62%); 51 hingga 60 tahun (52%) dan 60 tahun ke atas (57%).

“Manakala, bagi kaum pula Melayu sebanyak 54 peratus, Cina (78%) dan India (82%),” katanya pada sidang media Kajian N24 DUN Semenyih: Apa pilihan pengundi, di sini.

Katanya, persepsi pengundi terhadap PAKATAN masih tinggi dalam pelbagai isu kecuali berkaitan sara hidup dan harga barang.

Beliau berkata, ia ekoran rakyat masih mengharapkan usaha diteruskan kerajaan dalam menangani isu berkaitan peningkatan sara hidup.

Bagaimanapun, beliau berkata, respon masyarakat masih positif terhadap program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri sejak 2008 bagi membantu rakyat Selangor.

“Survei itu juga mendapati bagi pengundi lokal menyatakan wujud ahli keluarga mereka yang tinggal di luar kawasan Semenyih.

“Manakala, 84 peratus responden menyatakan positif untuk keluar mengundi dan 16 peratus menyatakan kekangan bekerja,” katanya.

Justeru, katanya, IDE mencadangkan pilihan raya diadakan pada hari Ahad berbanding Sabtu atau hari bekerja kerana memudahkan pengundi khususnya pekerja swasta yang bekerja di sektor industri dan perkilangan.


Pengarang :