NASIONAL

AADK, PDRM kekang kemasukan bekalan dadah di kawasan berisiko tinggi

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia akan mempertingkatkan usaha menyekat kemasukan bekalan dadah di kawasan berisiko tinggi seperti penempatan Felda dan Program Perumahan Rakyat.

Tanpa mendedahkan strategi yang akan dilaksanakan, Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, pihaknya mengenal pasti kemasukan dadah jenis pil kuda dan syabu ke kawasan itu adalah kerana harganya lebih murah.

“Kita (AADK) akan tentukan bekalan dadah dapat disekat atau diminimumkan, kalau boleh banteras sepenuhnya ia lebih baik.

“Ini bagi menghalang penagih mendapat bekalan selain bekas penagih kembali menggunakan dadah sekiranya kembali ke kawasan berisiko tinggi ini,” katanya kepada BERNAMA selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel di sini, malam tadi.

Beliau berkata, untuk tahun ini, penagih yang telah pulih tidak akan dihantar ke kampung halaman masing-masing sebaliknya akan ditempatkan di kawasan lain.

“Ini bagi mengelak stigma negatif masyarakat terhadap bekas penagih, kami akan hantar mereka ke kawasan baharu.

“Di lokasi baharu, orang ramai tidak kenal mereka dan mereka boleh mulakan kehidupan baharu,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata, pihaknya mengesyorkan ibu bapa yang anaknya terlibat dengan penyalahgunaan dadah untuk mendapatkan khidmat kaunseling.

“Melalui khidmat kaunseling mereka dapat membimbing serta memberi bantuan kepada anak mereka atau masyarakat setempat,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :