GLOBAL

AAIB lancar misi keluar mayat Sala, juruterbang

LONDON, 6 FEB: Penyiasat nahas British melancarkan operasi bawah air untuk membawa keluar mayat daripada bangkai pesawat yang membawa pemain bola sepak Argentina, Emiliano Sala di Channel.

Pesawat ringan yang membawa pemain bola sepak berusia 28 tahun itu dan juruterbang David Ibbotson ke pasukan baharunya di Liga Perdana Inggeris, Cardiff City tidak dapat dikesan berhampiran pulau Guernsey, pada 21 Januari lalu.

“Kami sedang cuba mengeluarkan mayat itu. Jika berjaya, kami akan mempertimbangkan untuk mengangkat bangkai pesawat itu pula,” kata jurucakap Cawangan Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) dalam satu kenyataan.

Operasi mencari serpihan bangkai pesawat yang diupah keluarga Sala dengan bantuan bintang bola sepak seperti Lionel Messi menemui bangkai pesawat berkenaan, pada Ahad lalu.

AAIB kemudiannya mengambil tugas operasi berkenaan dan mendedahkan satu mayat tidak dikenali dikesan di kawasan terbabit.

Namun, AAIB menegaskan keadaan pasang surut air yang kuat menyebabkan mereka hanya boleh menggunakan kenderaan menggunakan alat kawalan jarak jauh (ROV) untuk tempoh terhad, pada setiap hari.

“Atas keputusan itu, kami tidak akan membuat sebarang kenyataan lanjut sehingga pihak keluarga dimaklumkan,” katanya.

Sala menaiki pesawat untuk menyertai Cardiff dari pasukan lamanya di Perancis, Nantes.

Sala adalah pemain paling mahal yang pernah dibeli Cardiff dalam sejarah kelab dari Wales itu dan menjadi harapan peminat untuk membantu pasukan kekal dalam liga tertinggi Inggeris terbabit, musim depan.

*Sumber: AFP & BHOnline


Pengarang :