Abdul Hadi sedia disiasat SPRM | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Abdul Hadi sedia disiasat SPRM

MARANG, 8 FEB: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pemimpin parti itu.

Beliau berkata, terpulang kepada SPRM menyiasat mana-mana individu atau PAS dan pihaknya bersedia memberi kerjasama bagi melancarkan proses siasatan sekali gus menjadikan PAS sebuah parti yang bersih daripada isu rasuah.​​​​​​​

Bagaimana pun beliau berkata, siasatan itu perlu dilaksanakan secara adil dan mendesak SPRM turut menyiasat sumber kewangan yang diterima parti-parti lain khususnya pada pilihan raya umum yang lalu.​​​​​​​


“Jangan pelik dari mana PAS dapat duit…jelas ia dari poket kami sendiri…orang kami sendiri yang bertungkus lumus kerja untuk menyumbang derma (kepada parti),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila, di sini hari ini.

Anggota Parlimen Marang itu berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan SPRM membuka kertas siasatan dan memanggil beberapa individu bagi menyiasat dakwaan itu.​​​​​​​

Sebelum ini, artikel yang dilapor oleh Sarawak Report pada Ogos 2017 antara lain mendakwa dana berjumlah RM90 juta ‘dipercayai’ dimasukkan ke dalam akaun bank pimpinan atasan PAS bagi menarik mereka supaya menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN).

– BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next