Selangorkini
EKONOMI NASIONAL

Agensi umrah mohon kerajaan Malaysia beri kelonggaran

OLEH AFIX REDZUAN

SEPANG, 13 FEB: Agensi perkhidmatan umrah dan haji berharap kerajaan Malaysia dapat berbincang dengan Arab Saudi bagi membantu menyelesaikan isu levi yang dikenakan jika seseorang ingin menunaikan umrah lebih kerap terutama membabitkan mutawwif bertugas.

Pengurus Eksekutif Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd, Dato Md Daud Che’ Ngah berkata, levi RM2,400 dikenakan Arab Saudi terpaksa dibayar bagi membolehkan seseorang melakukan ibadah umrah dalam tempoh terdekat.

Katanya, ia termasuk kekangan daripada pihak imigresen yang tidak mengeluarkan pasport gantian, dalam tempoh enam bulan.

“Kita lihat kekerapan untuk pergi agak terbatas, maka kita terpaksa meminta mutawwif berkhidmat selama sebulan sesuai dengan tempoh visa dibenarkan sebagai penyelesaian. Selepas membawa dua kumpulan, dia (mutawwif) perlu kembali pulang.

“Apabila dia terhalang untuk pergi kali kedua, besar kemungkinan dia terpaksa pergi dengan pasport lama dan kita terpaksa membayar (levi). Kita memohon kerajaan khususnya kementerian memudahkan urusan.

“Kita juga minta imigresen longgarkan sekatan jika boleh (kebenaran) pergi berulang kali dan berkemampuan,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran ‘AMAL By Malaysia Airlines’ di Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines Berhad (MAB), semalam.

Mengulas berkenaan ‘AMAL By Malaysia Airlines’, Md Daud dan Andalusia menyambut baik usaha dilakukan syarikat penerbangan itu dalam meningkatkan mutu perkhidmatan melalui pengisian ke arah keislaman buat jemaah umrah dan haji.

Katanya, sebagai tanda sokongan, Andalusia memajak 80 penerbangan MAS atas dasar kepercayaan kepada pentadbiran mereka yang memberi keprihatinan terhadap perkhidmatan ditawarkan.

Bagi Pengarah Urusan Fadlim Travel and Tours, Abdul Halim Salleh, pihaknya turut menyambut baik usaha dilakukan Malaysia Airlines dan perkembangan positif itu mampu melonjakkan perkhidmatan lebih baik buat pelanggan.

“Kita tengok usaha ini dapat memberikan pendahan baik buat jemaah. Daripada segi kekangan, buat masa ini semuanya lancar.

“Di pihak Fadlim Travel and Tours, setiap bulan kita mempunyai empat atau lima penerbangan. Setakat ini, kita membawa 5,000 jemaah setahun dan akan cuba meningkatkan ‘volume’ pada 2019 memandangkan mempunyai cawangan, di seluruh negara,” katanya.


Pengarang :