NASIONAL

Ahmad Zahid dibenar pindah kes ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Kes Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 47 pertuduhan membabitkan nilai puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan hari ini membenarkan permohonan Ahmad Zahid, 66, menerusi peguamnya Hisyam Teh Poh Teik agar kes itu dipindahkan daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, Hisyam memaklumkan kepada mahkamah pihak pembelaan telah membuat permohonan menurut Seksyen 417 (1)(e) Kanun Tatacara Jenayah. Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Sazilee Abdul Khairi tidak membantah terhadap permohonan itu.

Pada 19 Okt dan 14 Disember tahun lalu serta 20 Februari lalu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengaku tidak bersalah terhadap keseluruhan 47 pertuduhan merangkumi 12 dakwaan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 lagi berhubung pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid didakwa telah menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bolasepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan menurut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan di bank sama antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Mengenai lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Dakwaan dibuat menurut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan tahun lalu.

Dakwaan adalah menurut Seksyen 4(1)(a) mengikut Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama iaitu boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :