NASIONAL

AirAsia diminta henti buat kenyataan palsu

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Malaysia Airports Holdings Bhd dan Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (dirujuk sebagai Malaysia Airports) secara bersama telah mengeluarkan serta menyerahkan Surat Tuntutan kepada AirAsia Bhd, AirAsia X Bhd dan Ketua Pegawai Esekutif masing-masing, Riad Asmat dan Benyamin Ismail berhubung penerbitan beberapa artikel yang didakwa sebagai tidak tepat serta mengelirukan di portal dalam talian AirAsia iaitu AirAsia Newsroom.

Menerusi surat itu, Malaysia Airports menuntut AirAsia secara serta-merta bertindak menarik balik semua artikel terbabit dan tidak lagi membuat sebarang kenyataan palsu, tidak tepat dan mengelirukan demi memastikan kepentingan Malaysia Airports terus dilindungi.

“Walaupun Malaysia Airports tidak menganggap tindakan AirAsia memaklumkan pemegang saham berhubung perkembangan dan status tindakan mahkamah mengikut undang-undang itu sebagai satu isu, namun AirAsia sebaliknya bertindak melangkaui batasan dengan menyiarkan kenyataan palsu, tidak tepat dan mengelirukan dalam media yang bertujuan menjejaskan reputasi Malaysia Airports,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan, hari ini, lapor BERNAMA.

Malaysia Airports turut menegaskan, ia terus berpegang kepada pendirian bahawa semua pertikaian dan perkara berkaitan telah diserahkan kepada mahkamah bagi tindakan selanjutnya dan pihak terbabit sewajarnya membiarkan mahkamah memutuskannya.

Sehubungan itu, katanya, AirAsia tidak mempunyai sebarang alasan untuk terus membuat kenyataan yang memperlekeh Malaysia Airports.

“Malaysia Airports berhak mempertahankan haknya untuk mengambil tindakan lanjut sekiranya AirAsia masih enggan mematuhi Surat Tuntutan/atau terus membuat kenyataan palsu, tidak tepat serta mengelirukan mengenai Malaysia Airports,” katanya.


Pengarang :