NASIONAL

AirAsia jawab tuntutan MAHB

SEPANG, 12 FEB: AirAsia Bhd memaklumkan sudah menerima Surat Tuntutan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) hari ini berhubung tuntutan supaya ia menarik balik kenyataan media yang dibuat sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Malaysia, Riad Asmat dan CEO AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail, berkata syarikat penerbangan itu bagaimanapun tidak terkejut dengan satu lagi respon undang-undang MAHB membabitkan isu berkenaan.

“Kami keliru kerana pengendali lapangan terbang itu terus menggunakan kedudukan dominannya serta ancaman mengambil tindakan undang-undang bagi menyekat ulasan yang adil,” kata AirAsia dalam satu kenyataan hari ini.

Syarikat penerbangan itu turut menyifatkan tindakannya sebagai maklum balas terhadap saman yang difailkan MAHB membabitkan caj perkhidmatan penumpang (PSC).

“Dalam usaha menggalakkan dialog terbuka dan mencari penyelesaian, kami menawarkan perantara seperti mana ditetapkan di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia untuk meleraikan semua isu tertangguh, namun MAHB menolaknya.

“Kami juga berpendapat bahawa pertikaian mahkamah itu akan memberi kesan negatif terhadap ekonomi dan industri penerbangan Malaysia. Bagaimanapun, kami tetap mempertahankan kenyataan yang telah dibuat dan beranggapan ancaman tindakan undang-undang itu adalah sesuatu yang tidak wajar,” katanya.

AirAsia berkata, pihaknya akan menggunakan semua saluran yang ada untuk mempertahankan diri daripada semua tindakan, sama ada menerusi perantara atau arbitrasi yang ditetapkan undang-undang atau “di mahkamah undang-undang seperti mana diinginkan MAHB.”

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :