NASIONAL

Ambil alih konsesi lebuh raya tidak jejas projek rakyat

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Cadangan kerajaan untuk mengambil alih empat konsesi lebuh raya tidak akan menjejaskan projek kepentingan rakyat.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pengambil alihan itu seiring dengan manifesto Pakatan Harapan, pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Katanya, jangkaan kos untuk pelaksanaannya masih dalam peringkat rundingan dan kementerian terbabit akan mengeluarkan kenyataan sebaik sahaja semua urusan selesai.

“Kerajaan juga akan memastikan pelaksanaan terbabit tidak akan menjejaskan pembangunan ekonomi, sebaliknya mahu ia terus berkembang.

“Ini komitmen kita dalam pilihan raya umum lalu, namun rundingan dan perbincangan sedang berjalan supaya ia dapat dibuat secara berperingkat kerana kesan kepada kewangan negara adalah besar,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ke Tamu Hotel & Suites di Kampung Bharu, hari ini.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan kerajaan sudah memulakan rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

Katanya, kerajaan berhasrat untuk memansuhkan mekanisme tol sedia ada apabila berjaya mengambil alih lebuh raya berkenaan.

Sementara, ‘congestion charge’ atau caj kesesakan akan diperkenalkan dengan pengguna akan hanya dikenakan bayaran caj kesesakan yang sama dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama enam jam sehari.


Pengarang :