RENCANA

Anak Selangor julang nama Malaysia di mata dunia

OLEH NAZLI IBRAHIM

Selepas pembentukkan Malaysia pada 1963, nama Malaysia hari ini semakin dikenali di mata dunia melalui pelbagai pencapaian membanggakan.

Tradisi kecemerlangan dalam pelbagai bidang ini disumbangkan oleh pelbagai pihak sama ada daripada golongan istana hinggalah ke rakyat terbanyak.

Selangor sendiri, selain menjadi negeri pemacu utama ekonomi negara dalam menyumbang kemakmuran Malaysia, turut memainkan pelbagai peranan penting lain dalam mengharumkan nama Malaysia.

Lebih membanggakan lagi, apabila putera raja negeri berdaulat itu sendiri iaitu Sultan Selangor yang ada hari ini, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika masih bergelar Raja Muda Selangor turut melakar sejarah mengibarkan Jalur Gemilang di mata dunia dengan caranya tersendiri.

Sempena sambutan Hari Malaysia ke-54, SelangorKini menyorot kembali jasa beberapa nama yang pernah menjulang nama Selangor dan Malaysia amnya di mata dunia.

Sultan Sharafuddin Idris Shah belayar mengelilingi dunia

Sultan Sharafuddin bukan sahaja meminati bidang pelayaran, malahan semasa masih bergelar Raja Muda Selangor, baginda turut mencatatkan rekod mengelilingi dunia selama 644 hari mulai 4 Febuari 1995 dengan menaiki kapal layar peribadinya yang dinamakan Jugra.

Sebagai mengiktiraf kegigihan baginda itu, baginda kemudiannya ditauliahkan sebagai Komander Kehormat Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 27 Ogos 1998 .

Nama baginda juga dicatatkan dalam “The Malaysia Books of Records” kerana kejayaan pengembaraan sejauh 16,000 kilometer bermula di Peking, China ke Paris, Perancis selama 43 hari pada tahun 1997 dengan memandu kereta antik Ford Model B.

Pada 20 Februari 2012, baginda juga menerima penganugerahan pangkat tertinggi daripada Kerajaan Perancis iaitu Commandeur De La Legion D’Honneur (Commander of the French National Order of the Legion of Honour) yang disampaikan Laksamana Edouard Guillaud di Kedutaan Perancis di Kuala Lumpur.

Anugerah berprestij itu diberikan sebagai mengiktiraf peranan Sultan Sharafuddin dalam mentadbir angkatan TLDM dan sebagai pemimpin tertinggi untuk Kerajaan Negeri Selangor.

Selangor julang nama Malaysia di gelanggang badminton dunia 

Siapa yang tidak kenal dengan jolokan Sidek Lima Bersaudara yang terdiri daripada Datuk Misbun, Datuk Razif, Datuk Seri Jalani, Rashid dan Rahman di mana Lima Sidek Bersaudara ini adalah jaguh badminton dunia yang pernah dilahirkan oleh bapa badminton negara, Allahyarham Dato’ Mohd Sidek Abdullah Kamar (1936-2005).

Mohd Sidek yang merupakan anak kelahiran Kampung Kanchong Darat, Banting merupakan individu terpenting dalam menaikkan nama Malaysia dalam sukan badminton sehingga menjadi salah satu kuasa badminton dunia.

Mohd Sidek mula melatih anaknya menceburi sukan badminton pada 1970 selepas beliau bersara sebagai pemain sebelum menempa pelbagai kejayaan pada 1980 an dan 1990an

Selain melatih anak-anaknya, beliau pernah diberikan tanggungjawab melatih pemain lain sehinggalah membawa kepada kejayaan yang paling diingati rakyat Malaysia apabila membawa Malaysia menjulang Piala Thomas buat kali pertama dalam tempoh 25 tahun pada 1992.

Selain dianugerahkan Darjah Kebesaran Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah (DSSA) yang mebawa gelaran Dato’ pada 1989, beliau turut menerima pelbagai pengiktirafan lain seperti Anugerah Emas Benson & Hedges untuk Personaliti Sukan pada 1990, Anugerah Personaliti Sukan Sepanjang Masa Malaysia Kementerian Belia dan Sukan pada 2003 dan dikurniakan dengan Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) juga pada tahun sama.

Selain juara Piala Thomas, pencapaian lain Lima Sidek bersaudara termasuklah memenangi pelbagai gelaran dan pingat dalam kejohanan utama dunia.

Misbun misalnya, selain tujuh kali menjuarai Kejohanan Badminton Kebangsaan, di peringkat antarabangsa pula beliau merupakan juara pelbagai kejuaraan antarabangsa sebanyak tujuh kali dan naib juara sebanyak empat kali termasuk Piala Dunia pada 1982, All-England (1986) dan Piala Thomas (1988).

Pasangan pakar beregu negara, Razif dan Jalani pula bergelar juara dalam pelbagai kejuaraan peringkat antarabangsa sebanyak 28 kali antaranya Kejohanan All-England (1982), World Grand Prix Pusingan Ahir (1986, 1988, 1989, 1991), Pingat Emas Sukan Komanwel (1990), Piala Dunia (1990, 1991) dan Piala Thomas (1992).

Rashid pula bergelar juara sebanyak 12 kali di peringkat antarabangsa antaranya, dua kali memenangi pingat emas Sukan Komanwel (1990, 1994), Grand Prix Dunia Pusingan Akhir (1992) dan Piala Thomas (1992).

Selain itu beliau juga pernah meraih naib juara pada kejohanan All-England pada 1996.

Walaupun pada masa ini anggota Sidek Bersaudara seperti Misbun, Razif, Jalani dan Rashid tidak lagi bermain, namun masing-masing bergiat aktif melatih pemain negara dan bakat-bakat baru negara bagi meneruskan legasi pembawa cabaran negara di gelanggang badmiton dunia.

Selain anggota Lima Sidek Bersaudara, anak Selangor lain yang pernah mengukir nama Malaysia dalam sukan badminton di peringkat antarabangsa adalah pemain perseorangan yang disifatkan sebagai ‘pemain paling liat’ untuk ditewaskan, Foo Kok Keong.

Selain ahli pasukan juara Piala Thomas 1992, anak kelahiran Gombak ini merupakan ahli pasukan Naib Juara Piala Thomas pada 1994 di Jakarta, 1990 di Tokyo, 1988 di Kuala Lumpur dan pingat perak Sukan Komanwel 1990 di Auckland.

Selain itu beliau turut meraih juara dalam Kejuaraan Asia 1994 di Shanghai dan dua kali membantu pasukan negara memenangi pingat emas Sukan Sea pada 1989 di Kuala Lumpur dan 1991 di Manila.

Manakala anak kelahiran Sepang pula, mendiang Datuk Punch Gunalan (1944-2012) 14 kali bergelar juara dalam pelbagai kejohanan dunia dalam acara perseorangan dan juga beregu, antaranya dua pingat emas Sukan Komanwel pada 1970 di Edinburgh dan 1974 di Christchruch.

Beliau dan pasangan beregunya, Ng Boon Bee turut menjuarai Kejuaraan All-England (1971), Kejuaraan Asia (1969) dan pelbagai kejuaraan antarabangsa lain.

Bintang Selangor warnai era kegemilangan bola sepak negara

Tidak dapat dinafikan, Selangor merupakan negeri melahirkan paling ramai bintang bola sepak yang pernah membawa nama Malaysia ke era kegemilangannya.

Antaranya, Allahyarham Tan Sri Datuk Abdul Ghani Minhat (1935-2012) yang walaupun dilahirkan di Negeri Sembilan namun membesar dan bakatnya dicungkil di Selangor.

Pada tahun 1967, beliau yang diberikan jolokan raja bola telah membantu Selangor layak beraksi di perlawanan akhir Kejuaraan Kelab Asia tetapi tewas kepada kelab Israel Hapoel Tel Aviv dengan jaringan 2-1.

Sebelum pembentukan Malaysia, beliau turut membantu pasukan kebangsaan menjuarai Pesta Bola Merdeka pada 1958, 1959 dan 1960, pingat emas Sukan SEAP 1961 dan pingat gangsa Sukan Asia 1962.

Allahyarham Dato’ Mohamad Mokhtar Dahari (1953 –1991) yang terkenal dengan jolokan ‘Supermokh’ pula pernah membantu pasukan kebangsaan menjuarai Pestabola Merdeka sebanyak empat kali pada 1973, 1974, 1976 dan 1979, manakala Sukan Sea pula pada 1977 dan 1979.

Beliau yang pernah dianugerahkan sebagai Penyerang Terbaik Asia pada 1975 oleh World Soccer itu membuat penampilan bersama skuad kebangsaan sebanyak 167 kali (1972-1985) dengan menjaringkan 125 gol.

Walaupun beberapa kelab antarabangsa termasuk pasukan divisyen 1 Liga Inggeris dan kelab gergasi Eropah, Real Madrid CF dikatakan menaruh minat untuk melamar, namun Mokhtar menolak ekoran semangat patriotisme beliau terhadap Malaysia dan Selangor.

Sementara itu, kejayaan skuad kebangsaan melayakkan diri ke Sukan Olimpik Munich pada 1972 buat kali pertama turut dibantu oleh enam pemain Selangor termasuk bek kental negara, Datuk Soh Chin Aun yang ketika itu bermain untuk pasukan Selangor.

Pemain Selangor lain yang turut membawa bendera Malaysia pada detik bersejarah itu, M Chandran, Lim Fung Kee, Wong Choon Wah, Abdullah Rahim dan Hiralal Bahwandi.

Skuad kebangsaan 1980 yang menampilkan sekurang-kurangnya empat pemain Selangor sekali lagi layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow sebelum menarik diri gara-gara memboikot tindakan Soviet Union menceroboh Afghanistan.

Antara anggota skuad terbabit adalah, Datuk Soh Chin Aun, mendiang Dato’ R Arumugam yang terkenal dengan jolokan ‘spiderman Malaysia’, Dato’ Santokh Singh, M Chandran dan Khalid Ali.

YY Pang menaiki podium kejuaraan dunia paling prestij

Pada 1983 anak jati Shah Alam, YY Pang atau nama sebenarnya Pang Yok You menjadi pelumba pertama negara berjaya menaiki podium dengan menduduki tempat ketiga bagi kategori 500cc Kejuaraan Grand Prix dunia pada masa itu.

Walaupun beliau tidak bergelar juara dalam perlumbaan di Litar Batu 3, Shah Alam itu, namun bersaing dengan pelumba handalan dunia seperti Ron Haslam dalam kategori utama (sekarang dikenali Moto GP) merupakan pencapaian yang tinggi pada masa itu.

Hal ini dibuktikan apabila sukan pemotoran negara terpaksa menunggu selama 33 tahun untuk mengulangi kejayaan menaiki podium seperti dilakukan YY Pang.

Muhammad Ziyad dua kali pecah rekod dunia

Atlet para Malaysia, Muhammad Ziyad Zolkefli yang berasal dari Gombak berjaya memecahkan rekod dunia sebanyak dua kali dalam acara lontar peluru lelaki F20 pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London pada Julai lalu.

Pada acara yang berlangsung di Stadium London, Queen Elizabeth Olympic Park, Muhammad Ziyad melakukan lontaran 17.29 meter (m), memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri yang dicatatkan pada temasya Sukan Paralimpik di Rio tahun lepas iaitu 16.48m.

Kejayaan beliau memberi banyak inspirasi kepada anak muda lain khususnya golongan OKU.

Juruterbang termuda keliling dunia

Pada 16 Julai 2013, Kapten James Anthony Tan, 21 tahun berjaya memecah rekod dunia sebagai juruterbang termuda mengelilingi dunia secara solo selama 48 hari menggunakan pesawat Cessna P210 Eagle bernama Semangat Malaysia.

Pencapaian juruterbang muda negara berasal dari Kajang itu mengelilingi dunia sejauh 20,597 batu nautika (38,146 kilometer) dengan meliputi 20 buah negara dan 30 hentian dicatat dalam Guinness World Records dan Malaysia Book of Records.

Sebenarnya, masih banyak lagi nama-nama warga Selangor yang memainkan peranan cukup besar dalam mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Sesungguhnya pengorbanan mereka ini bukanlah sedikit tetapi diiringi keringat dan air mata.

* Nazli Ibrahim merupakan Wartawan Kanan SelangorKini


Pengarang :