NASIONAL

Anwar sedia kemuka bukti

OLEH NORHAYATI UMOR

SEMENYIH, 28 FEB: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendedahkan beliau memiliki dokumen transaksi bank yang mendakwa PAS membayar RM1.4 juta kepada Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Bukti berkenaan dikaitkan dengan penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah berhubung dakwaan penerimaan RM90 juta daripada UMNO.

Bagaimanapun, katanya, bukti itu hanya didedahkan jika PAS terus mencabarnya.

“Saya tidak sesekali memusuhi ahli PAS. Saya ada baca kertas pendakwaan itu. Saya tidak bodoh kerana sudah banyak kali turun naik mahkamah sebelum ini.

“Nama saya Anwar Ibrahim, kalau tak ada fakta saya tak lawan. Ini saya ada fakta memang ada bukti. PAS terpaksa bayar RM1.4 juta kepada Clare.

“Kalau PAS nak cabar, bila-bila masa, saya ada buktinya,” katanya pada ceramah di Terminal Bas Semenyih Sentral, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, Anwar berkata, PAS boleh membawa perkara itu ke mahkamah jika mahu mencabar bukti yang dimilikinya.

Terdahulu, PAS menafikan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membayar wang berkenaan kepada Rewcastle-Brown sebagai sebahagian daripada penyelesaian luar mahkamah, awal bulan ini.

 


Pengarang :