NASIONAL

Anwar turun kempen di Semenyih

SEMENYIH, 24 FEB: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam turun padang bagi memperkuatkan kempen Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam usaha mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu, pada 2 Mac ini.

Memetik BERNAMA, program pertama beliau adalah menghadiri Rumah Terbuka Pesta Chap Goh Mei Semenyih 2019, di Gelanggang Bola Keranjang Kampung Baru Semenyih yang turut dihadiri calon PAKATAN, Muhammad Aiman Zainali.

Ia dikuti dua ceramah pilihan raya di Bilik Gerakan Utama PAKATAN dan di Taman Sri Jenaris.

“Saya datang untuk bantu dengan sokongan kuat dan padu kepada calon PAKATAN. Harap tak lagi jadi teka-teki yang digunakan pembangkang,” katanya kepada hadirin dalam ceramah di Bilik Gerakan Utama PAKATAN, di sini.

Kenyataan itu ekoran dakwaan pembangkang sebelum ini yang mengatakan Anwar tidak turun berkempen bagi menyokong calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia, di kawasan terbabit.

Sebelum itu, pada Rumah Terbuka Pesta Chap Goh Mei Semenyih 2019, Ahli Parlimen Port Dickson itu mengingatkan penyokong PAKATAN supaya tidak memandang ringan PRK terbabit.

“Jangan lupa apa sebab anda semua bagi sokongan (kepada PAKATAN) dalam pilihan raya umum lalu, sebab kita tidak mahu lagi kekayaan negara ini dicuri,” katanya.

Dalam ucapannya yang turut diselit perkataan Mandarin, Anwar berkata, rakyat perlu memberikan sokongan kepada kepimpinan negara untuk membawa Malaysia ke landasan betul.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah 93 tahun, dia mahu duit lagi ke? Dia tak mahu, dia mahu jaga dan selamatkan Malaysia,” katanya.

Anwar turut menempelak pembangkang yang menghasut rakyat menjauhi kerajaan dengan memainkan isu janji manifesto.

Anwar berkata, kerajaan PAKATAN bukannya tidak ingat kepada janji yang dibuat pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, namun memerlukan masa untuk melaksanakannya.

“Kita ingat kepada janji tetapi pembangkang mengungkit, kita belum sampai satu tahun pun (memerintah), mereka 60 tahun, apa yang mereka buat?,” katanya.


Pengarang :