NASIONAL

APMM tumpas 40 kes penyeludupan RM22 juta sepanjang 2018

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menumpaskan sebanyak 40 kes penyeludupan membabitkan dadah, rokok, minuman keras, senjata api dan barangan kawalan subsidi yang dianggarkan bernilai RM22 juta sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarah APMM, Datuk Seri Zulkifili Abu Bakar berkata, kejayaan itu mencerminkan kematangan pengoperasian APMM yang baharu menjengah satu dekad penubuhannya.

“Daripada jumlah itu, banyak kes penyeludupan rokok dan minuman keras melalui bot telah digagalkan membabitkan nilai rampasan sebanyak RM12.9 juta di perairan Kuala Selangor.

“Sepanjang tahun lalu juga, APMM telah tangani 84 kes pendatang asing tanpa izin (PATI) di Zon Maritim Malaysia (ZMM) membabitkan penahanan seramai 531 orang PATI.

“Dalam kes pencerobohan bot nelayan asing (BNA) pula, sebanyak 110 tangkapan berjaya dilakukan dengan mengutip hampir RM1 juta, hasil menerusi denda nelayan asing, pelupusan vessel, kompaun dan lelongan ikan bagi tahun lalu,” katanya kepada BBERNAMA selepas hadir ke program Ruang Bicara, Bernama News Channel (BNC) di sini, semalam.

Beliau berkata, kejayaan demi kejayaan telah APMM capai membabitkan sebanyak 842 kes atas pelbagai kesalahan seperti kes jenayah rompakan, aktiviti penyeludupan, penyeludupan migran (PATI) dan juga pencerobohan bot nelayan asing (BNA).

Katanya, daripada jumlah itu juga, terdapat kes berprofil tinggi seperti kes menumpaskan sindiket rompakan kapal dagang membabitkan kapal tangki MT Lee Bo lebih kurang 6.5 batu nautika dari Pulau Tinggi di Johor.

Dalam pada itu, Zulkifili berkata, kadar indeks jenayah maritim telah menurun tahun demi tahun dengan mencatatkan penurunan sebanyak 2.23 peratus pada tahun lalu berbanding 12 tahun lalu yang mencatatkan peratusan sebanyak 48.06 peratus.

Beliau berkata, APMM melihat penurunan itu sebagai kesan positif terhadap pematuhan undang-undang di laut dan disebabkan oleh peningkatan penguatkuasaan melalui rondaan, pemeriksaan dan tangkapan yang dilakukan oleh pihaknya dalam menentukan ZMM selamat dan aman bagi masyarakat.

“Kejayaan ini adalah hasil risikan dan jalinan hubungan kerjasama daripada pelbagai pihak iaitu komuniti nelayan sendiri dan pihak awam di samping, jalinan kerjasama bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan hubungan baik dengan negara luar telah juga menyumbang kepada kejayaan ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zulkifili turut menyatakan ketidakwajaran kapal milik negara luar terutama kapal tentera milik Amerika Syarikat (AS) berada di Selat Melaka bagi membantu menangani jenayah maritim.

“Ini kerana, kita sendiri mampu melaksanakan tugasan mengawal perairan negara daripada aktiviti jenayah tanpa campur tangan pihak luar. Kemampuan kita turut diakui negara lain.

“Lagipun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga menyatakan bahawa beliau tidak mahu kapal asing berada di perairan kita,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :