GLOBALNASIONAL

Arab Saudi nafi Putera Mahkota mahu beli MU

RIYADH, 18 FEB: Arab Saudi hari ini menafikan laporan bahawa Putera Mahkota Mohammed bin Salman merancang untuk membeli kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris, Manchester United (MU).

“Laporan mengatakan Putera Mahkota Mohammed bin Salman berhasrat membeli MU adalah tidak benar,” kata Menteri Penerangan Turki Al-Shabaneh di Twitternya.

Beliau berkata, kelab British itu mengadakan pertemuan dengan Dana Pelaburan Awam (PIF) Saudi adalah untuk membincangkan peluang penajaan.

“Tiada sebarang perjanjian diadakan,” katanya.

Akhbar British The Sun sebelum ini melaporkan Putera Mahkota itu berunding untuk mengambil alih kelab dengan harga £3.8 bilion.

MU dimiliki keluarga Glazer juga pemilik Tampa Bay Buccaneers, sebuah pasukan bola sepak profesional Amerika berpusat di Tampa, Florida.

PIF ditubuhkan pada 1971 untuk menyokong projek yang mempunyai kepentingan strategik kepada ekonomi Saudi.

Ia adalah dana ke-10 terbesar dunia dengan nilai US$360 bilion, menurut Institut Dana Kekayaan Negara (SWFI).

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :