EKONOMINASIONAL

ASEAN raih manfaat ketegangan perdagangan AS-China

KUALA LUMPUR, 23 FEB: ASEAN, terutama Malaysia, Thailand dan Vietnam, adalah penerima manfaat berpotensi daripada perpindahan syarikat antarabangsa dari China, ekoran ketegangan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS).

Pakar Ekonomi Kanan Maybank Kim Eng Singapura, Chua Hak Bin berkata, negara ASEAN akan meraih manfaat daripada potensi peralihan perdagangan dan pelaburan.

“Misalnya, syarikat teknologi multinasional memindahkan sebahagian daripada pengeluaran mereka dan mewujudkan kilang baharu di Asia Tenggara.

“Ini menunjukkan syarikat besar memilih untuk berpindah keluar berbanding menghadapi perang perdagangan itu,” katanya pada sesi Prospek Pasaran Separuh Pertama 2019 Maybank Investment Bank (Maybank IB), di sini hari ini.

Katanya, ASEAN mempunyai potensi untuk mendapat manfaat daripada pertikaian perdagangan terbabit yang membantu meningkatkan modal dan aliran masuk bersih.

Sementara itu, Maybank IB Research mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia sebanyak 4.9 peratus bagi 2019, naik berbanding 4.7 peratus pada 2018, ekoran pemulihan dalam sektor pertanian dan perlombongan serta potensi perjanjian perdagangan AS-China.

“Aliran dana asing turut menunjukkan tanda peningkatan yang menggalakkan dengan aliran masuk bersih bernilai RM1 bilion dalam ekuiti Malaysia, pada Januari 2019, sekali gus meraih jualan bersih asing selama tiga bulan,” katanya.

Berkenaan pasaran saham, Maybank IB berkata ia dijangka kekal dalam jajaran kecil untuk sepanjang tahun ini, sambil menambah pelabur perlu berhati-hati dalam pilihan saham mereka ekoran keadaan yang mencabar, pada masa ini.

Pilihan utama termasuk Tenaga Nasional Bhd, Genting Bhd, Astro Malaysia Holdings Bhd, UMW Holdings Bhd, CIMB Group Holdings Bhd, Alliance Bank Malaysia Bhd, Mega First Corporation Bhd dan Cahya Mata Sarawak Bhd.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :