Selangorkini
SELANGOR

Atasi kesesakan, Persiaran Mahkota Cheras 1 dinaik taraf

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

CHERAS, 17 FEB: Kerajaan Negeri sudah meluluskan projek menaik taraf Jalan Persiaran Mahkota Cheras 1 selepas mengambil kira keperluan dan permintaan penduduk, di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, Hee Loy Sian berkata, kerja naik taraf itu membabitkan penambahan laluan dua lorong sedia ada, kepada tiga lorong bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas, sekali gus menjamin keselesaan pengguna.

Katanya, kerja naik taraf jalan itu sedang giat dijalankan dan dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi.

“Penduduk membuat aduan berkaitan masalah kesesakan lalu lintas kerana mereka tidak dapat keluar masuk dengan masa yang singkat, malahan setiap pagi mereka terpaksa mengalami kesesakan hampir dua jam untuk keluar ke lebuh raya.

“Daripada segi perancangan pembangunan di kawasan ini, ia tidak mengatur jalan sedia ada dan memang tidak mampu untuk menampung pertambahan kenderaan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada Program Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, di Bandar Mahkota Cheras, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming; Naib Presiden KEADILAN merangkap Ketua Cabang Batu, Tian Chua dan ADN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.

Pada masa sama, beliau yang juga EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam berkata, sebagai mekanisme jangka masa panjang pihaknya turut bersetuju membina sebuah jejambat (Flyover) yang menghubungkan taman berkenaan terus ke lebuh raya.

Bagaimanapun katanya, masih terdapat beberapa projek perumahan besar sedang dilaksanakan di sekitar kawasan terbabit.

“Dalam perancangan kita meluluskan dengan syarat pemaju projek perumahan perlu membuat satu ‘flyover’ untuk selesaikan masalah kesesakan ini.

“Kita juga merancang membuka pusingan U di lebuh raya. Kita sudah berjumpa Menteri Jabatan Kerja Raya (JKR) dan jika ia berjaya dibuka akan membantu menyelesaikan masalah kesesakan.

“Ini adalah janji kita untuk penduduk,” katanya.


Pengarang :