NASIONAL

ATM tahan 3 lelaki bunuh penyu di Semporna

SEMPORNA, 6 FEB: Angkatan Tentera Malaysia melalui Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) menahan tiga lelaki warga asing kerana menangkap dan membunuh penyu di perairan Pulau Ligitan dekat sini, awal pagi ini.

Komander ATB 2, Brig Jen Datuk Zarondin Md Amin berkata, satu Pasukan Atur Gerak Cepat (QRF) dari 18 RAMD diketuai Kapten Mohd Azuan Arif Mohd Nizam digerakkan ke lokasi kejadian dan mengesan bot mencurigakan sebelum menahan suspek berumur antara 25 hingga 45 tahun, pada jam 4.30 pagi.

“Pemeriksaan awal turut menemukan kesemua suspek bersama enam cengkerang penyu yang telah dipotong-potong,” katanya dalam kenyataan, lapor BERNAMA.

Katanya, kesemua suspek yang tiada pengenalan diri itu turut ditahan atas faktor melanggar perintah berkurung yang ditetapkan di kawasan perairan Zon Selamat Timur Sabah, antara jam 6 petang hingga 6 pagi.

Katanya, kesemua suspek serta barang rampasan diserahkan ke Markas Polis Marin Semporna untuk tindakan lanjut.

*Sumber: BERNAMA

 


Pengarang :