EKONOMINASIONAL

Azmin puji usaha Malaysia Airlines teroka peluang baharu

OLEH AFIX REDZUAN

SEPANG, 12 FEB: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memuji usaha Malaysia Airlines Berhad (MAB) meneroka peluang perniagaan baharu, khusus untuk pengurusan ibadah umat Islam, di negara ini.

Beliau berkata, berdasarkan statistik terkini daripada Lembaga Tabung Haji, kos perbelanjaan pengurusan ibadah haji berjumlah RM926 juta berbanding RM443 juta, pada 2014.

Katanya, ia sekali gus membuktikan perkhidmatan umrah dan haji mempunyai prospek besar.

“Malaysia Airlines boleh menggarap potensi ini dengan menghasilkan produk baharu untuk jemaah haji dan umrah.

“Saya berharap, syarikat penerbangan kos rendah memberi sokongan dan menjalinkan kerjasama dengan AMAL By Malaysia Airlines,” katanya ketika merasmikan ‘AMAL By Malaysia Airlines’, di Kompleks Kejuruteraan MAB, di sini.

Beliau berkata, pengisian projek itu membawa makna besar dalam aspek mutu perkhimatan penerbangan bagi memberi keselesaan kepada jemaah supaya Malaysia Airlines kekal sebagai pengendali umrah dan haji terbaik.

Katanya, kedudukan itu sekali gus dapat menarik pasaran baharu dari Indonesia dan Thailand, ditambah bilangan umat Islam yang menunaikan ibadah di tanah suci semakin meningkat saban tahun.

“Pada 2017, jumlah jemaah haji meningkat kepada 40.9 ribu dari 22.3 ribu, pada 2014 dengan Kadar Pertumbuhan Kompaun Tahunan (CAGR) 22.4 peratus.

“CAGR bilangan umat yang mengerjakan umrah pula meningkat 8.4 peratus kepada 250.1 ribu, pada 2017 dari 196.1 ribu, pada 2014.

“Berdasarkan bilangan terbabit, CAGR rakyat yang mengerjakan haji dan umrah melonjak 24 peratus setahun dari RM 1.56 bilion, pada 2014 kepada RM2.67 bilion, pada 2017,” katanya.

Dalam majlis sama, Mohamed Azmin turut meninjau keadaan dalam pesawat Airbus Boeing A380 yang mampu membawa 494 jemaah bagi merasai sendiri pengalaman sebagi tetamu yang diperdengarkan dengan talbiah, doa musaffir, azan dan tazkirah seera pengumuman Miqat.


Pengarang :