NASIONAL

Bakal haji terima surat tawaran perlu sahkan status

IPOH, 17 FEB: Bakal jemaah haji yang menerima surat tawaran menunaikan fardu haji perlu memberi pengesahan status mereka di pejabat cawangan Tabung Haji (TH) berhampiran dalam tempoh dua minggu.

Menteri di Jabatan Perdana, Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, ini kerana mereka yang layak perlu menandatangani surat pengesahan sama ada berkemampuan atau tidak untuk menyempurnakan kerja-kerja haji dan ibadah lain semasa di Tanah Suci.

Katanya, pengesahan itu penting untuk mengemaskini sistem dan memberi laluan kepada bakal jemaah yang membuat rayuan.

“Sering kali apabila mereka menerima surat tawaran, dia ingat sudah selesai dan boleh pergi tanpa datang ke pejabat untuk tujuan pengesahan.

“Pengesahan ini penting kerana jemaah haji yang betul-betul boleh pergi, nama mereka akan dimasukkan ke dalam sistem, kerana kalau mereka tidak boleh pergi, kita akan keluarkan dari senarai dan memberi laluan kepada bakal jemaah yang membuat rayuan,” katanya.

Mujahid berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Tahun Baru Cina yang disertai kira-kira 500 orang termasuk golongan mualaf di Masjid Muhammadiah di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mujahid menasihati bakal jemaah haji untuk tidak mudah mempercayai berita palsu di media sosial, berhubung pelbagai isu yang ditularkan mengenai Lembaga Tabung Haji.

Beliau berkata, isu yang dibangkitkan pihak tidak bertanggungjawab boleh menimbulkan keraguan dan kesangsian, serta rasa cemas orang ramai terhadap agensi berkenaan.

“Saya minta mereka jangan menularkan berita yang tidak betul kononnya kerajaan (PAKATAN) tidak prihatin terhadap jemaah haji, kononnya hendak mansuhkan subsidi (kos mengerjakan haji), tidak peduli orang susah.

“Bagi saya isu yang ditimbulkan ini lebih kepada politik kerana ada pihak yang sentiasa menunggang isu agama semata-mata untuk meraih simpati dan sentimen kononnya kerajaan hari ini tidak prihatian kepada jemaah haji. Jangan mudah percaya kepada Whatsapp, percaya kepada TH,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :