NASIONAL

Bandar utama Syria makin kosong – MAPIM

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 FEB: Bandar utama di Syria semakin kosong akibat serangan dahsyat sehingga menyebabkan ada kawasan di situ tidak berpenghuni.

Ketua Misi Bantuan Kemanusian RescueSyria Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Dr Sani Araby Al-Kahery berkata, serangan itu menyebabkan penduduk lari dan berhijrah tanpa mereka rela.

Katanya, situasi itu semakin meruncing sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Namun apa yang membimbangkan ialah bangunan yang kosong ini kemungkinan akan runtuh sekiranya dibedil musuh sekali gus membahayakan anak kecil.

“Kita tidak mahu ada nyawa yang tidak berdosa melayang termasuk anak-anak kecil dan juga golongan wanita,” katanya.

Sani yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM berkata, pihaknya kini dalam misi menghantar bantuan ke Syria khususnya di kawasan Idleb, Hama, Aleppo, Azaz, AlBab, Jerablus, Babulhawa dan juga di pergunungan Beqaa di Lebanon.

“Antara bantuan yang terdesak diperlukan ialah selimut, khemah pelarian, ubat-ubatan, alat pemanas dan baju sejuk.

“Saudara yang prihatin boleh terus menyumbang ke akaun Maybank (Syria Emergency Appeal (Dana MAPIM), 562834636987.

“Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi pihak MAPIM Malaysia menerusi talian hotline 1300-888-038 atau menghantar email kepada [email protected],” katanya.

 


Pengarang :