Selangorkini
SELANGOR

Bandingkan 60 tahun BN dengan Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 24 FEB: Langkah membandingkan rekod 60 tahun Barisan Nasional (BN) menerajui Kerajaan Pusat dengan tempoh sembilan bulan kerajaan baharu, jelas bertujuan mengelirukan rakyat.

Sebaliknya, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perbandingan perlu dibuat dengan rekod 11 tahun Kerajaan Negeri menerajui Selangor untuk dinilai rakyat secara tepat dan adil.

“Janganlah bandingkan rekod BN dengan sembilan bulan Pakatan Harapan (PAKATAN), di pusat tetapi cuba bandingkan 10 tahun PAKATAN di Selangor, apa pencapaian dan kejayaan serta kita buktikan tohmahan pembangkang kononnya jika begini cara PAKATAN, negara akan muflis.

“Kita bagi Skim Mesra Usia Emas, kita bantu anak masuk universiti, air percuma, bantu mereka yang ingin berniaga atau mengembangkan perniagaan dengan HIJRAH, bukan sedikit, kita dah belanjakan RM360 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Umum Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, di Taman Sri Jenaris, di sini, malam tadi.

Katanya, pada peringkat awal, pentadbiran Kerajaan Negeri bekerja keras memulihkan sistem pentadbiran membabitkan dasar dan memperbaiki pelbagai kerosakan ditinggalkan BN.

Amirudin berkata, antara perkara yang diperbaiki adalah melaksanakan sistem tender terbuka, berbanding pentadbiran lama yang menggunakan sistem rundingan terus bagi kepentingan kroni.

“Kita berjaya memajukan rakyat Selangor, sebab itu mereka memberikan sokongan baik kepada PAKATAN sehingga menang 51 daripada 56 kerusi DUN,” katanya.


Pengarang :