NASIONAL

Bangun sistem jualan ikan terus dari laut

SERDANG, 23 FEB: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan untuk membangunkan sistem yang membolehkan hasil tangkapan nelayan boleh dijual ketika mereka masih berada di lautan.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, inisiatif itu antara langkah yang diambil kementerian dalam meningkatkan pendapatan nelayan seperti digariskan dalam pelan hala tuju meningkatkan pendapatan golongan itu.

Beliau berkata, sistem itu apabila siap kelak akan melengkapkan kegunaan aplikasi paparan harga ikan yang dimiliki Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Sistem ini membolehkan nelayan yang turun ke laut menjual hasil tangkapan tanpa perlu menunggu sehingga mendarat seperti amalan sebelum ini.

“Dengan bantuan aplikasi harga pasaran yang dimiliki LKIM, nelayan boleh mengenal pasti harga semasa ikan dan terus menjualnya melalui sistem yang dibangunkan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi pertemuan bersama ejen pengembangan perikanan yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Dr Bah Piyan Tan, di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.

Katanya, pengenalan sistem itu juga antara lain bertujuan mengatasi isu orang tengah yang sering memanipulasi harga ikan dan merugikan nelayan.

Pada masa sama, Salahuddin berkata, pihaknya kini berusaha menempatkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi mengawasi kawasan perikanan daripada dicerobohi nelayan haram.

Beliau berkata, perkara berkenaan ancaman dan kebimbangan pencerobohan Zon A secara berterusan itu dibangkitkannya untuk perhatian kerajaan dalam beberapa mesyuarat jemaah menteri.

“Bagaimanapun, cadangan itu memerlukan perbincangan lanjut dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana membabitkan aspek penguatkuasaan dan keselamatan selain sebagai kementerian yang menaungi pasukan Rela.

“Secara prinsipnya, idea ini sudah dibincangkan bersama menteri KDN dan ia akan disusuli dengan perbincangan lebih serius selepas ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas berkenaan pegawai pengembangan perikanan, Salahuddin mahu ejen yang rapat dengan golongan nelayan di akar umbi itu dapat meningkatkan pengetahuan, khususnya berkaitan penggunaan teknologi terkini.

Beliau berkata, mereka yang berjumlah 800 orang itu perlu meneroka idea terkini untuk membantu meningkatkan taraf hidup nelayan tanpa menumpukan hanya kepada tangkapan ikan seperti mengusahakan ikan hiasan.

“Perusahaan ikan hiasan tidak memerlukan modal dan kawasan yang luas, sebaliknya nelayan boleh memanfaatkan ruang di rumah masing-masing untuk mengusahakan perniagaan itu.

“Perniagaan ini memiliki pasaran luas, malah harganya juga cukup kompetitif sehingga mencegah ratusan ringgit seekor, katanya.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :