NASIONAL

Bantah kes Rosmah pindah ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Pasukan pembelaan mewakili Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa meminta dan menerima rasuah berhubung projek tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak, membantah pemohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Perkara itu dimaklumkan kepada Mahkamah Sesyen oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar ketika sebutan semula kes berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad.

Bagaimanapun, Mohd Dusuki berkata, tarikh pendengaran bagi permohonan memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi ditetapkan pada 15 Mac ini.

“Oleh kerana pemohonan masih lagi tertangguh dan belum diselesaikan di Mahkamah Tinggi, jadi saya pohon tarikh sebutan lain ditetapkan,” katanya.

Azman menetapkan 20 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah mengesahkan perkara itu dan pihaknya sudah menyerahkan afidavit berhubung permohonan untuk memindahkan kes berkenaan, namun pihak pendakwaan masih belum memberi jawapan.

“Ya, benar… kita juga telah serahkan afidavit tetapi pihak pendakwaan masih belum menjawab,”katanya.

Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan meminta rasuah wang tunai RM187,500,000 dan menerima rasuah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dua tahun lalu.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rosmah turut diwakili peguam Datuk Jagjit Singh.

Suaminya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan anak lelaki mereka Mohd Ashman turut hadir pada prosiding hari ini.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :