PBTSELANGOR

Operasi PJ City Bus sehingga 12 tengah malam pada 16 Februari

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 FEB: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyediakan perkhidmatan PJ City Bus sehingga jam 12 tengah malam bagi memudahkan orang awam ke Dataran Petaling Jaya untuk meraikan sambutan rumah terbuka sempena Tahun Baharu Cina peringkat negeri, yang akan berlangsung Sabtu ini.

Bas dua hala dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit bermula di Terminal Bas Taman Medan, LRT Taman Jaya dan LRT Taman Bahagia akan beroperasi untuk membawa pengunjung ke Dataran Petaling Jaya.

Penolong Pegawai Penguat kuasa MBPJ, Mohd Rizal Mohd Arif berkata, pihaknya juga menyediakan 4,009 petak letak kereta di sembilan lokasi secara percuma dan berbayar buat pengunjung yang datang menaiki kereta serta kawalan lalu lintas.

“Kita menempatkan lima anggota penguat kuasa bagi mengawal aliran trafik di Jalan Persiaran Barat bermula jam 9 pagi sehingga 5 petang, manakala jumlah anggota bagi 4 petang sehingga 12 tengah malam pula seramai 30 orang.

“Bagi lokasi tempat letak kereta, orang awam boleh meletakkan kenderaan di Tempat Letak Kereta Awam Seksyen 10, Taman Jaya, AMCORP Mall, PJX, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kompleks C, Bangunan Persekutuan, ‘On Street Parking’ Seksyen 53 dan Kompleks A,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim, hari ini.

Katanya, orang awam dinasihatkan supaya mematuhi arahan ditetapkan bagi mengelakkan masalah tidak diingini berlaku.


Pengarang :