NASIONAL

Bauksit: Proses libat urus tambah baik SOP

PUTRAJAYA, 23 FEB: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) akan mengadakan sesi pendengaran awam dan libat urus bagi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) pengurusan perlombongan dan pengeskportan bauksit, di Pahang.

Kementerian itu dalam kenyataan berkata, proses terbabit akan diadakan sebelum 31 Mac ini dan akan mengambil kira kepentingan rakyat serta badan bukan kerajaan berkaitan alam sekitar.

Katanya, ia merangkumi semua aspek termasuk perancangan perlombongan, pengurusan tapak perlombongan bauksit; pengangkutan dan penguatkuasaan; pengurusan tapak stok dan pelabuhan serta prosedur pengeksportan bauksit.

“Orang awam akan dapat mengakses dan meneliti SOP terbabit, pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Katanya, sesi libat urus itu diadakan ekoran keputusan kabinet, pada 18 Februari lalu bahawa moratorium kegiatan perlombongan dan pengeksportan bauksit dari Pahang ditamatkan, pada 31 Mac ini.

Ekoran itu, katanya, semua aktiviti melombong dan pengeksportan bahan mineral berkenaan boleh diteruskan semula, namun kali ini dengan SOP baharu serta penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat.

“KATS komited untuk memastikan segala keluhan rakyat terutama mereka yang terkesan secara langsung dengan aktiviti perlombongan bauksit didengari selaras visi kementerian sebagai peneraju pengurusan air, tanah dan sumber asli secara mampan demi kesejahteraan negara.

“Usaha giat sedang giat dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Kerajaan Pahang,” katanya.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :