Empat lelaki seleweng diesel bersubsidi didakwa di mahkamah semalam.
SELANGOR

Berjudi di tempat awam, 5 lelaki didenda RM1,500

PETALING JAYA, 19 FEB: Lima lelaki dijatuhi hukuman denda, masing-masing RM1,500 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan bermain judi daun terup di tempat awam, pada Ogos tahun lalu.

Majistret Nurshahirah Abdul Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap L. Baret, 25; Chia Kok Wong, 26; Devin George Gregory, 21; M. Ravi Kumar, 35; dan S. Mathavan, 24, selepas mereka mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di Tingkat 8, Blok C, Flat Impian Baiduri, Sungai Way, di sini, pada jam 11.30 malam, 7 Ogos 2018.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya.

Dalam prosiding sama, dua lagi rakan mereka, K. Thayalan, 24, dan S. Nagandren, 31, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama, di tempat dan masa sama.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon hukuman setimpal terhadap lima lelaki terbabit dan menawarkan jaminan masing-masing RM4,000 dengan seorang penjamin terhadap K. Thayalan dan S. Nagandren. Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan dua lelaki itu masing-masing diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Mac untuk sebutan semula kes.

Mengikut fakta kes, ketika membuat rondaan, pihak polis telah melihat sekumpulan lelaki sedang berkumpul sambil bermain judi di tempat awam sebelum membuat tangkapan ke atas tujuh lelaki tersebut dan merampas 52 keping kad daun terup, beberapa buah kerusi lipat serta meja.

Di mahkamah sama, seorang penganggur dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau penjara dua bulan kerana memiliki tiket loteri awam.

Nurshahirah menjatuhkan hukuman itu terhadap Yang King Hun, 32, selepas dia mengaku bersalah memiliki tiga keping tiket loteri awam di AU-00-05, Subang Perdana Court 10, Subang Jaya, di sini, pada 3.30 petang, 10 Feb lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda yang boleh sampai RM5,000 atau penjara yang boleh sampai enam bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, Muhammad Hairuliqram memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh manakala lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan tidak mampu membayar denda tinggi.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :