SELANGOR

Biar lembu berkeliaran, dua penternak dikompaun

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 1 FEB: Dua penternak dikompaun Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) setelah didapati membiarkan haiwan ternakan milik mereka bebas berkeliaran.

Yang Dipertua MDKS, Rahilah Rahmat berkata, kompaun mengikut Seksyen 4(1) Enakmen Mengawal Lembu- Kerbau 1971 itu dikeluarkan terhadap penternak lembu di Taman Sri Pancaran, Bestari Jaya dan Jalan Raja Abdullah, Jeram.

Katanya, operasi bersepadu terpaksa dijalankan berikutan hasil aduan orang ramai berhubung haiwan ternakan yang kerap memasuki laluan awam dan perumahan.

“Operasi ini dijalankan di sekitar kawasan Bestari Jaya dan Jeram kerana ia antara lokasi yang sering terjadinya kemalangan antara pengguna jalan raya dan haiwan ternakan.

“Untuk makluman, pada tahun lalu sudah terdapat kes kematian melibatkan penunggang motosikal akibat haiwan ternakan yang dibiarkan bebas ini,” katanya.

Pada masa sama Rahilah berkata, pihaknya menyedari operasi terbabit seringkali menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penternak di sekitar kawasan Kuala Selangor.

Namun, tindakan terpaksa dilakukan untuk kebaikan semua pihak terutama pengguna jalan raya.

“Peringatan kepada pemilik ternakan, MDKS boleh mengurung lembu atau kerbau yang ditangkap serta disimpan di suatu tempat sehingga kos perbelanjaan bagi tangkapan, kurungan dan makanan haiwan itu dibayar pemiliknya.

“Perkara ini adalah mengikut Seksyen 4(4) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971. Sementara bagi Seksyen 13 enakmen yang sama memberikan kuasa kepada pihak MDKS untuk menjalankan pendakwaan di mahkamah ke atas pemilik haiwan berkenaan,” katanya.

Orang ramai digalakkan untuk menyalurkan aduan berkaitan perkhidmatan MDKS secara dalam talian di selangor.spab.gov.my atau hubungi 0332891439.


Pengarang :