SASTERA

Bintang yang ingin terpadam

Oleh Fakhrull Halim

ADA satu kesakitan yang lahir bersama sesetengah manusia, dan takkan pergi meninggalkannya sampai bila-bila.

“Macam kembar, kan?” Pernah suatu malam Rosmah bertanya kepada aku.

“Macam bayang-bayang.”

“Bayang-bayang akan hilang apabila tiada cahaya, sedangkan di dalam gelap, kesakitan itu makin kuat terasa.”

Aku menggeleng perlahan. “Mana ada dia hilang. Kegelapan itu sendiri bayang-bayang. Bayang-bayang yang menelan keseluruhan kita.”

Kami manusia sakit, yang berkongsi kesakitan, dan mungkin cinta- selalu berjumpa di atas bumbung fakulti pada malam hari. Daripada bumbung fakulti yang terletak di atas bukit itu, kami dapat melihat hampir keseluruhan pekan yang mengecut menjadi begitu kecil, berkelip-kelip, muat jika ditekap dengan hanya sebelah tapak tangan.

“Aku pun macam kau, suka tengok bandar dari tempat tinggi. Aku pun tak tahu kenapa,” Rosmah memeluk lututnya di sebelah aku.

Aku senyum mendengar kata-katanya.

Pekan yang bercahaya di bawah sana, kelihatan seperti segugus bintang yang berhimpun.

Sedangkan di langit, bintang bertabur jauh-jauh, berkelip cuma sendiri-sendiri.

***

Malam ini, aku terserempak dengan Rosmah di sebuah pasar raya. Ini kali pertama setelah sepuluh tahun kami terpisah.

Lima saat kami berpandangan tanpa pertukaran kata- hanya membiarkan kejutan surut, memberi cukup masa untuk jantung meredam ke denyutan normal.

Bunyi tapak kaki budak kecil berlari memesongkan pandanganku ke tepi. Budak itu usianya mungkin lima tahun, menarik hujung baju Rosmah kemudian memeluk betisnya. Rosmah tunduk, kemudian mengangkat muka memandang aku semula.

Kata-kata sapaan yang tertangguh sepuluh saat, aku telan semula ke dalam perut.

Tiada kata-kata, dan tiada senyuman. Hanya pandangan yang menali-tangsi, menggodaku untuk mengail di lubuk-lubuk kenangan yang telah lama kami tinggalkan.

“Din. Jom lah,” Zam menepuk bahuku. Zin di sebelah, memegang beg plastik berisi baju Batman, hadiah hari jadi anak lelakinya minggu depan.

Aku palingkan tubuh, dan pergi.

Lebih baik begini. Sapaan atau bertanya khabar dengan Rosmah, mungkin membuka pintu ke daerah-daerah yang tidak mahu aku kunjungi.

Rosmah dah berkahwin. Sudah tak sakitkah dia? Adakah cuma aku yang masih terperangkap dalam kesakitan ini?

“Din! Kau jangan lupa datang birthday anak aku minggu depan. Nak ajak keluar bukan main susah!” Zin mengingatkan aku untuk kali ke berapa entah.

“Ye, ye. Aku pergi. Aku dah kata aku pergi, aku pergilah,” aku senyum sambil melambai. Kami bersurai di situ.

Penat.

Senyum sudah menjadi satu topeng yang sudah tidak janggal lagi untukku pakai. Sekurang-kurangnya, senyum membuatkan orang membuat tanggapan bahawa aku ‘tiada masalah’ dan tidak runsing. Begitu, mereka tidak akan bertanyakan aku hal-hal yang tidak selesa untuk aku kongsi dengan siapa-siapa.

Lebih mudah begitu. Kerana sepanjang aku hidup, aku dapati menipu itu lebih mudah daripada cuba menjelaskan. Kerana manusia lebih cenderung untuk mempercayai daripada cuba memahami.

Mengatasi semua itu, aku pun tak suka membebani kawan-kawan dengan masalah sendiri yang tak akan mungkin mereka fahami.

Aku menekan handal pintu dan masuk ke dalam rumah yang gelap gelita. Aku tidak memetik suis lampu, kerana malam ini aku ingin melihat kota di dalam gelap.

Di tepi tingkap, aku duduk di atas kerusi sambil meneguk air kosong.

Cantik.

Dari rumahku di tingkat 17 ini, kota kelihatan begitu indah. Kenapa ia berubah menjadi raksaksa bingit yang begitu memekakkan setiap kali aku berjalan menelusuri perutnya?

Bandar lebih indah jika dilihat dari tempat yang tinggi begini. Sebagaimana cahaya lampu lebih indah jika dinikmati dari tempat-tempat yang gelap.

Adakah kehidupan juga sama seperti bandar dan lampu? Lebih indah jika dilihat dari tempat yang tinggi dan gelap?

Aku memejamkan mata, cuba mengatur semula nafasku yang semakin laju.

Benarkah kesakitan ini boleh dipulihkan? Seperti Rosmah? Bagaimana dia buat? Aku tidak tahu caranya.

Bagaimana mungkin dapat aku rawat kesakitan yang tidak aku tahu dari mana berpuncanya. Tetapi tetap dapat kurasa denyut pedihnya.

Aku melepaskan nafas yang berat. Bintang-bintang yang baru hendak menyala di langit, terpadam oleh keluhanku yang panjang.

Aku menuju ke bilik dan berbaring mengiring di atas katil. Katil yang sebegitu sempit, pada malam-malam tertentu melaut luasnya, dan aku kelemasan seorang-seorang.

Aku mengekot, mengecutkan tubuh.

Aku sudah lama memilih untuk berdamai dengan kesakitan ini. Tetapi aku sering terlupa, apabila ‘ia’ memilih untuk berdamai denganku, bermakna tiada lagi ruang damai dalam kehidupanku.

Sampai bila?

Aku mengetap bibir yang menggeletar, dan air mata tumpah lagi malam ini, mengasihani diri sendiri yang terumbang-ambing dalam lautan hitam yang tidak berhujung.

Lautan halimunan yang begitu rakus menggelora.

***

“Semoga Kau ampunkan kakakku, atas dosa besar yang telah ia lakukan,” Normah menyapu tadahan tangannya ke muka.

Dia melihat suaminya yang sedang mendukung anaknya di kereta.

Hari ini dia singgah tidak lama, sekadar menyedekahkan al-Fatihah dan mencabut rumput-rumput liar yang meninggi di pusara kakak kembarnya itu. Normah mengusap-ngusap batu nisan yang terpacak di bahagian kepala.

“Rosmah binti Abd Barri, 17/09/2012”

Dalam hatinya, tidak putus Normah berdoa – “Semoga Kau ampunkan dosa besar yang telah dia lakukan, ya Allah.”


Pengarang :