Bangunan Bank Negara Malaysia – Foto BERNAMA
EKONOMI

BNM dijangka kekalkan OPR pada 3.25 peratus

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.25 peratus memandangkan keperluan untuk mengimbangi antara tekanan aliran keluar modal dan sokongan pertumbuhan, kata RAM Ratings.

Firma penyelidikan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, walaupun inflasi keseluruhan diunjur meningkat tahun ini, kadar peningkatannya tidak dijangka menjadi titik pencetus, berbanding risiko penurunan pertumbuhan daripada konsolidasi fiskal, pasaran modal yang tidak menentu, ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan ketidakpastian berhubung Brexit.

Inflasi dijangka rendah pada -0.5 peratus pada Januari 2019 (Dis 2018: +0.2 peratus), dalam keadaan tekanan deflasi daripada komponen bahan api pengangkutan.

“Pada masa depan, inflasi keseluruhan dijangka meningkat kepada 2.0 peratus tahun ini, dipacu terutamanya daripada jangkaan kesan limpahan berterusan daripada pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan dan kesan asas rendah semasa tempoh tiga bulan tanpa Cukai Barang dan Perkhidmatan (Jun-Ogos 2018).

“Kesan itu dibayangkan terutamanya bagi komponen makanan, dan akan menjadi pemacu utama inflasi keseluruhan pada 2019,” katanya, lapor BERNAMA.


Pengarang :