EKONOMINASIONAL

BNM: EAC perlu cari kaedah rancak pelaburan awam

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) perlu mencari kaedah bagi pergiatkan lagi pelaburan awam untuk memacu ekonomi negara, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau berkata, majlis itu perlu mengkaji insentif sedia ada untuk melihat sama ada ia menarik pelaburan langsung asing yang betul dan sekiranya insentif diberikan kepada syarikat yang betul.

“Kami telah kongsikan dengan kerajaan tentang apa yang boleh dikaji untuk memulihara ekonomi dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun penuh 2018 dan pertumbuhan suku keempat 2018 (4Q18) di sini, hari ini.

Nor Shamsiah turut mengesyorkan supaya EAC menangani isu berkaitan kos sara hidup yang tinggi dengan melakukan kajian terhadap kos itu sendiri, dan bagaimana kerajaan dapat meningkatkan pendapatan dengan menjana lebih banyak kerja perdapatan tinggi, meningkatkan rantaian nilai industri-industri dan menambah baik mobiliti buruh.

“EAC juga perlu berusaha memastikan sistem pendidikan kita mengeluarkan jenis graduan yang betul untuk memenuhi keperluan industri. Ini adalah antara pembaharuan struktur jangka panjang yang perlu kita laksanakan.

“Kita juga perlu lakukan kajian untuk menyokong sektor pelancongan, wang dibelanjakan bagi pelancongan dan bagaimana kita boleh maksimumkan ekonomi semasa untuk meningkatkan pendapatan,” katanya.

Pada Isnin, kerajaan mengumumkan penubuhan EAC 16 anggota, dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anggota majlis itu termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking; Menteri Kerja Raya, Baru Bian; Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri, Dr Muhammed Abdul Khalid; mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz dan Pengerusi Permodalan Nasional Bhd, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Sementara itu, mengenai pertumbuhan pinjaman Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Nor Shamsiah berkata, langkah mengklasifikasikan semula PKS pada tahun lalu tidak menjejaskan bantuan kewangan diberikan oleh kerajaan kepada syarikat-syarikat.

Pinjaman diberikan kepada PKS meningkat kepada RM80.8 bilion pada 4Q18 daripada RM77.2 bilion pada 3Q18.

Tahun lalu, BNM menerusi pekeliling dalaman mengumumkan entiti senaraian dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan anak syarikat mereka tidak lagi diklasifikasikan sebagai PKS dan tidak layak untuk bantuan kerajaan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :