NASIONAL

Bomba temui 4 lagi mayat kebakaran pusat hiburan

IPOH, 20 FEB: Enam dipercayai maut dan seorang parah dalam kejadian kebakaran di sebuah pusat hiburan di Times Square Jalan Raja Dr Nazrin Shah, di sini hari ini.

Dua daripada mangsa yang maut sudah ditemui dan dibawa keluar dari premis berkenaan, manakala seorang yang parah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa yang sudah dikenal pasti adalah Tai Chee Kin, 36 dan Lau Wai Hoong, 37, ditemui mati dalam sebuah bilik tingkat empat dalam bangunan berkenaan manakala seorang lagi berusia 39 tahun parah.

Difahamkan, setakat jam 10 pagi, anggota bomba menemui empat lagi mayat iaitu dua wanita dan seorang lelaki warga asing manakala identiti seorang lagi mangsa belum dikenal pasti dalam bangunan sama.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 5.49 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba anggota bomba dimaklumkan seramai 11 individu terperangkap dalam bangunan berkenaan.

“Dua lelaki warga tempatan disahkan maut oleh pegawai perubatan dan seorang lagi parah.

“Empat daripada mangsa berjaya menyelamatkan diri,” katanya lapor BHOnline.

Katanya, setakat jam 10 pagi, empat lagi mayat berjaya ditemui namun anggota bomba masih menjalankan operasi mengeluarkan mangsa.

Kredit foto: BHOnline


Pengarang :