SELANGOR

Bukan kerja mudah baik pulih negeri dan negara ‘rosak’ – Amirudin

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEMENYIH, 25 FEB: Kerja membaik pulih sesebuah negara mahupun negeri yang sudah ‘rosak’ bukan satu tugas yang mudah.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perkara sama turut berlaku terhadap Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang sebelum ini, namun setelah tampuk kepimpinan diambil alih Pakatan Harapan (PAKATAN), negeri berkenaan kembali pulih.

Katanya, situasi terbabit sama seperti Kerajaan Pusat pada hari ini yang baharu sahaja diambil alih PAKATAN kurang dalam tempoh setahun.

“Tidak mungkin rakyat boleh buat perbandingan sehingga ada yang mengatakan Kerajaan PAKATAN gagal melaksanakan tugas, namun masyarakat perlu lebih adil kerana pentadbiran baharu sahaja diambil alih dan kita sedang membetulkan masalah yang sangat dahsyat.

“Kita lihat apa berlaku pada Tabung Haji, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan sebagainya, rugi berbilion ringgit sehingga kerajaan sedia ada terpaksa membetulkan segalanya kembali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Ceramah Rapat Rakyat Semenyih sempena Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi BERSATU Selangor, Dato’ Abdul Rashid Asari dan calon PAKATAN, Muhammad Aiman Zainali.

Amirudin berkata, kerajaan juga mengambil masa agak lama untuk membaik pulih kerosakan atas sebab sikap tidak acuh pemimpin Barisan Nasional mentadbir negara.

Katanya, atas sebab itu tidak seharusnya kerajaan lama kembali mentadbir negara dan melakukan kerosakan sama.

“Kerajaan Negeri hari ini mempunyai urus tadbir yang baik setelah 10 tahun memerintah Selangor, lihat sahaja pelaburan sudah masuk ke Kuala Langat, juga pembinaan gedung IKEA yang bernilai RM900 juta serta pembukaan kilang Toyota di Bukit Raja.

“Maksudnya pelaburan datang daripada pengurusan yang baik sehingga membolehkan kita melaksanakan Inisiatif Peduli Rakyat dan dalam tempoh 10 tahun mampu membelanjakan RM3 bilion buat rakyat Selangor,” katanya.


Pengarang :