EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia akhiri sesi dagangan pagi lebih tinggi

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi pada paras lebih tinggi dipacu peningkatan sokongan belian berikutan sentimen pasaran positif oleh peningkatan prestasi ekuiti serantau.

Pada jam 12.30 tengah hari, petunjuk asas FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 11.09 mata kepada 1,703.83 berbanding 1,692.74 pada penutupan Isnin.

Selepas dibuka 1.29 mata lebih kukuh kepada 1,694.03, indeks tempatan bergerak antara 1,693.37 dan 1,704.21 sepanjang sesi dagangan.

Seorang peniaga berkata sentimen pasaran di Bursa adalah positif selepas saham di Asia mencatatkan kenaikan tertinggi dalam tempoh hampir empat bulan, dengan menaruh harapan perbincangan perdagangan antara China dan Amerika Syarikat akan membuahkan hasil positif dan jangkaan terhadap dasar kewangan oleh bank-bank pusat.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura naik 0.11 peratus kepada 3,269.70, Indeks Komposit Jakarta menokok 0.30 peratus kepada 6,517.08 dan Indeks Hang Seng Hong Kong naik 0.08 peratus kepada 28,368.65.

Di Bursa Malaysia, kedudukan pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 393 berbanding 295, manakala 379 kaunter tidak berubah, 787 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.63 bilion saham bernilai RM1.03 bilion.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank kekal pada RM9.48, Public Bank naik enam sen kepada RM25.06, Tenaga menokok 10 sen kepada RM13.10 dan Petronas Chemicals naik 30 sen kepada RM8.87.

Bagi saham aktif, Sapura Energy naik satu sen kepada 31.5 sen, Bumi Armada turun setengah sen kepada 22 sen dan EA Holdings menokok setengah sen kepada dua sen.

Indeks FBM Emas 74.12 mata lebih tinggi kepada 11,854.83, Indeks FBMT 100 meningkat 74.28 mata kepada 11,716.23 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 111.95 mata kepada 11,815.67.

FBM 70 naik 81.66 mata kepada 14,153.61 manakala Indeks FBM Ace turun 7.26 mata kepada 4,646.92.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan 34.97 mata lebih tinggi pada 17,687.82, Indeks Perladangan meningkat 59.13 mata kepada 7,385.04 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.85 mata kepada 165.42.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :