EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi dirangsang belian kukuh

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Saham di Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini mendapat rangsangan daripada sokongan belian kukuh dalam kebanyakan saham wajaran tinggi susulan kenaikan di Wall Street semalaman.

Pada jam 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada 1,712.34, naik 5.78 mata daripada paras penutup 1,706.56 pada Selasa.

Indeks itu dibuka 6.27 mata lebih tinggi kepada 1,712.83.

Public Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikannya berkata, FBM KLCI dijangka berada dalam aliran tinggi bagi tempoh berbaki minggu ini memandangkan pemulihan kukuh momentum meningkat, dalam jajaran antara paras 1,720 dan 1,700.

“Cabaran segera adalah untuk memastikan indeks kekal di atas paras 1700 mata pada akhir minggu. Paras sokongan bagi indeks itu berada pada 1,664, 1,680 dan 1,700, manakala paras ketahanan pada 1,720, 1,734 dan 1,743,” kata bank pelaburan itu.

Di Wall Street, Indeks S&P 500 dan Nasdaq Composite kedua-dunya naik 0.2 peratus, manakala Purata Perindustrian Dow Jones ditutup tidak berubah pada Selasa.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank naik tiga sen kepada RM9.51, Public Bank meningkat dua sen kepada RM25.02 manakala Tenaga dan Petronas Chemicals menokok enam sen setiap satu masing-masing kepada RM13.38 dan RM8.96.

Dalam kalangan saham cergas, Bumi Armada naik setengah sen kepada 22 sen, Hibiscus Petroleum meningkat tiga sen kepada RM1.08 dan Securemetric menambah dua sen kepada 52.5 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 46.39 mata kepada 11,916.97, Indeks FBM Emas Shariah naik 60.14 mata kepada 11,904.14 manakala FBMT 100 menokok 45.89 mata kepada 11,777.03.

Indeks FBM Ace naik 13.54 mata kepada 4,675.65 manakala FBM 70 meningkat 80.92 mata kepada 14,236.56.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 33.34 mata kepada 17,699.79, Indeks Perladangan menambah 37.42 mata kepada 7,439.86 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.59 mata kepada 166.44.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 182 berbanding 69, manakala 160 kaunter tidak berubah, 1,443 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 111.19 juta saham bernilai RM63.22 juta.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :